Total Pageviews

Thursday, January 20, 2011

Cerpen Mencari Mr Teddy

Mata Hana memandang wajah Badrul sekali imbas. Malu untuk menatap wajah itu. Entah mengapa wajah yang selalu dirindui saban malam itu menjadi wajah yang teramat malu untuk dipandang. Mungkin hanya kerana lelaki itu bukan lagi hanya seorang Badrul yang selalu ditemuinya setiap hujung minggu atau Badrul yang selalu mengucapkan kata cintanya lewat telefon. Badrul yang di hadapan Hana kini adalah suaminya!
Setahun yang lalu…

Bau pelbagai lauk pauk menerpa ke hidungnya sebaik sahaja Hana melangkah masuk ke restoran Janji Sayang. Melihat kelibatnya beberapa pemuda menegur dengan ramah dan Hana seperti biasa membalas teguran mereka dengan senyum simpul dan celoteh manja. Hanya seorang sahaja yang hanya memandang dengan sekali imbas dan tidak mempedulikan kehadirannya.

“Hana, kenapa lewat petang ni?,” tegur ibunya di kaunter.

Tangan ibunya ligat menekan mesin pengira untuk mengira bayaran makanan pelanggan. Hana cuma tersengih sambil menarik kerusi di sebelah ibunya. Hana anak tunggal Puan Khalidah, tuan punya Restoran Janji Sayang. Pelajar sebuah kolej dan baru berusia 22 tahun. Kecil molek orangnya namun keletah. Sekali pandang tak ubah seperti pelajar tingkatan 3 lagi. Rambutnya yang lurus separas bahu ditarik dan diikat kemas.

“Alamak!”, tiba-tiba Hana bingkas bangun. Membuka beg galasnya besar-besar. Menyelongkar satu-persatu. Mukanya cemas bagaikan kehilangan sesuatu. Ibunya memandang dengan muka yang sama cemas.

“Mr Teddy Hana hilang!”Hana memberitahu ibunya dengan nada yang kecewa. Wajahnya yang selalunya cerah bagai sinar pagi kini mendung seperti mahu hujan bila-bila masa. Tiba-tiba Hana meluru keluar dari kedai menuju ke kereta Myvi miliknya yang diletakkan tidak jauh dari Restoran Janji Sayang. Dia mula menyelongkar keretanya. Puas dia menjenguk ke bawah tempat duduk namun bayang Mr Teddy masih belum kelihatan. Hana mula hendak menangis.

Mr Teddy…di mana kau? Aku bukan tidak sayangkan engkau, aku mungkin tercicir engkau di mana-mana. Mr Teddy…di mana patutku cari?

Hana melangkah longlai menuju ke restoran ibunya semula. Wajah muramnya menggamit keresahan hati ibunya.

“Tak ada dalam kereta?”. Hana menggeleng.

Ibunya mengeluh. Dia tahu Hana sangat sayangkan anak patung beruang sebesar bola kecil itu. Itulah hadiah terakhir yang diberikan oleh arwah ayahnya semasa dia berumur 10 tahun. Ke mana-mana pun Hana akan membawa Mr Teddynya bersama, seolah dia membawa semangat dan kasih ayahnya. Kini bila Mr Teddy sudah hilang…tentu dia terasa seolah satu kehilangan yang benar-benar melukakan hatinya.

Ibunya turut muram. Dia buntu bagaimana mahu memujuk Hana. Dia tahu tiada yang dapat menggantikan Mr Teddy dalam hidup Hana sepertilah tiada lelaki yang dapat menggantikan tempat ayahnya. Ayahnya terlalu istimewa di mata Hana begitu jugalah dengan Mr teddy.

Hana mula duduk terperonyok di tepi dinding. Keriuhan dan kesibukan di restoran itu seperti tidak tertangkap oleh segala pancaindera. Dia tenggelam di dalam kesedihannya seorang diri.

“Hana nak pergi cari,” katanya sambil bingkas bangun dan menyandang beg galas warna merah dibahunya.

“Dah petang Hana, nak cari ke mana?”

“Tak kira, Hana nak pergi cari juga.” Sambil bergerak keluar dari restoran. Ibunya mengejar dari belakang.

“Hana, jangan pergi seorang ajaklah Abang Tam tolong temankan.” Pinta ibunya sambil memegang lengan Hana.

“Alah tak payah lah mak, semua orang sibuk waktu ni kan ramai pelanggan ,” bantah Hana.Wajahnya semakin muram.

“Biar saya temankan makcik,” tiba-tiba suara salah seorang pekerja di situ mencelah. Lelaki itu mendekati mereka berdua di kaki lima restoran.

“Kau dah habis kerja kan Bad? Ha boleh kau tolong temankan Hana sekejap.” Pinta ibu Hana kepada lelaki yang dipanggil Bad. Bad hanya mengangguk dan tersenyum. Dia berdiri di tepi Hana tetapi Hana buat tak nampak sahaja.

“Pergi dulu mak. Hana balik sebelum kedai tutup ya.”

“Ye lah, jangan lambat sangat. Bad tolong tengokkan Hana ya.” Kata ibu Hana kepada Bad. Bad hanya mengangguk lalu berpaling dan mengejar Hana yang sudah jauh ke hadapan. Tubuh kecil molek Hana hampir hilang di celah-celah orang ramai yang lalu lalang di kaki lima. Memang waktu petang adalah waktu paling sibuk di kawasan itu.

Hana masuk ke dalam keretanya. Enjin dihidupkan. Badrul masuk dan duduk di tempat penumpang di sebelah Hana. Hana menekan punat radio, lagu Aizat ‘ hanya Kau yang mampu’ kedengaran lantang. Cepat-cepat tangan Badrul merendahkan volum nya. Bingit seketika di telinganya mendengar lagu itu. Ternyata anak gadis ini sukakan keriuhan walaupun memandu berseorangan. Badrul tersenyum sendiri namun Hana masih membisu.

“Manalah Mr Teddy ni…,” keluh Hana dengan perlahan. Stering diputar ke kanan dan mula masuk mencelah di dalam kesibukkan lalu lintas di situ.

“Hana cakap apa?”

“Mr Teddy ni..mana perginya.” Jawab Hana acuh tak acuh. Badrul menoleh ke Hana sekali lagi.

“Mr Teddy? Apa benda tu?” tanyanya jujur.

“Anak patung Hana lah.”

“Oh anak patung..kenapa dengan anak patung Hana?” tanya Bad selamba. Dia mula rasa hendak ketawa. Dah besarpun masih main anak patung? Bad mula menggeleng-gelengkan kepala.

“Mr Teddy Hana hilang tadi…” jawab Hana sedih.

“Jadi...yang kecoh-kecoh kat kedai tadi tu, sebab anak patung Hana hilanglah ya?” Hana mengangguk. Badrul ketawa.

“Kenapa ketawa?” Hana membentak marah. Matanya terus memandang jalan di hadapannya yang sesak dengan kereta. Jem lagi! Geramnya! Makin lambatlah dia sampai ke kolejnya semula.

“Sorry, sorry. Saya ingat benda apalah yang hilang sampai kecoh-kecoh satu kedai .” Jawab Bad masih lagi tersenyum. Hana menjeling. Dia memang tidak pernah bercakap dengan Badrul sebelum ini. Badrul pekerja baru, baru seminggu bekerja sebagai penebar roti canai di Restoran Janji sayang. Semenjak dia bekerja , dia tidak pernah menegur Hana seperti pekerja yang lain. Orangnya pun memang jarang bercakap jadi Hana fikir dia tidak menegur sebab dia pendiam.

“Kalau tak nak tolong, biar saya hantar awak balik saja.”

“Eh! Janganlah nanti apa kata mak awak. Saya dah kata nak teman awak kan. Tak baiklah kalau saya tak tolong pula,” bantah Badrul. Dia mula sedar yang Hana kecil hati dengan dia. Rasa bersalah pula kerana mentertawakan Hana. Sudahlah orang tu kehilangan Mr Teddy ni dia ketawakan pula, bukannya hendak bersimpati!

I am sorry ok. Saya tak kan ketawa lagi cuma…”

“Cuma apa?,” jawab Hana sambil menjeling ke arah Bad. Dia tak fikir kehilangan anak patung sesuatu yang perlu ditertawakan. Orang lagi sedih ni tahu tak? Geram!

“Cuma pelik sikit, dah besar panjang masih menangis sebab anak patung hilang.” Jawab Badrul selamba. Rasa lucu mula terdetik di hatinya tetapi dia cuba mengawal supaya jangan tersenyum. Nanti tidak pasal-pasal ditinggal di tepi jalan. Hana membisu. Matanya bergenang. Radio dimatikan. Suasana di dalam kereta itu mula sunyi. Badrul tiba-tiba resah.

“Anak patung tu, arwah ayah saya yang beri masa hari jadi saya yang ke 10. Itulah hadiah dia yang terakhir pada saya tau..” kata Hana satu persatu. Airmatanya mula tumpah membasahi pipinya. Sesekali tangannya menyeka airmata. Badrul terus bungkam. Terasa amat menyesal. Lelaki memang selalu begitu , bercakap pakai lepas aje.

10 minit berlalu tanpa suara. Badrul masih lagi mencari-cari ayat yang sesuai untuk dituturkan kepada Hana. Namun dia memang tidak tahu memujuk perempuan, puas dia cuba mengingat-ingat segala dialog dalam drama di televisyen namun semuanya seolah lari bertaburan. Hatinya menjadi geram. Argh! Mengapalah waktu begini otak aku menjadi beku.

Hana memutar stering keretanya membelok ke kanan, menyusuri jalan kecil masuk ke sebuah kolej yang kelihatan sudah sunyi sepi. Airmatanya sudah kering walau masih nampak berbekas di pipinya. Badrul menelan air liur, masih kebuntuan kata-kata.

Hana meletak kan keretanya di sebuah petak kosong betul-betul di hadapan pintu masuk bangunan utama Kolej Tun Teja. Selain kereta Hana cuma ada dua buah sahaja kereta lagi, Sebuah kereta Naza Sutera dan sebuah lagi kereta Honda Civic. Hana melangkah laju ke dalam bangunan. Badrul mengejar dari belakang. Huh! Macam lipas kudung berjalan. Badrul mengeluh. Sukar baginya menyaingi kelicahan Hana bergerak.

Hana berlari menaiki tangga dengan lajunya. Badrul sekali lagi terpaksa termengah-mengah mengejar. Hana berhenti di tingkat dua bangunan 5 tingkat itu. Membelok ke kiri dan berhenti di hadapan sebuah bilik bernombor 213. Dia memutar tombol pintu, namun ketat. Ah! Berkunci. Hana mula menendang pintu itu, melepaskan geramnya. Seketika dia termenung, kecewa dan marahnya semakin bertambah.

Badrul sampai dengan nafas yang terputus-putus. Dia tersandar di tepi dinding di sebelah kanan Hana. Hana masih cuba membuka pintu yang berkunci itu. Segenap rasa marah dan geramnya dilepaskan waktu itu.

“Sudahlah, nanti sakit tangan tu,” pujuk Badrul. Kasihan pula melihat sikap Hana.

“Biarlah sakit, tangan saya. Bukan tangan awak.” Jawab Hana kasar. Badrul tahu Hana masih berkecil hati dengan sikapnya tadi.

“Ya tangan awak, tapi kalau tangan tu sakit nanti. Macamana nak bawa kereta cari Mr teddy?,” tanya Badrul menggunakan logik akal. Hana berhenti dari menggoncang tombol pintu itu. Tangannya memang sudah sakit pun, cuma dia mengikutkan rasa geram di hatinya waktu itu. Tangannya dibuka perlahan-lahan.Tapak tangan kanannya merah dan pedih.

“Ha…kan dah sakit,” kata Badrul sambil menelek tapak tangan Hana. Ditiup-tiupnya seperti meniup api lilin. Hana sepantas itu menarik tangannya. Gelilah! Dia terus berpaling lalu menuruni anak tangga. Badrul tergaru-garu kepala. Orang nak tolong pun marah! Lagi sekali kelibat Hana sudah hilang di balik tangga. Aduh! Kena kejar lagi.

Hana sampai dahulu ke keretanya. Badrul masuk dengan perlahan. Hana buat tidak tahu. Tangannya memasukkan sekeping CD Siti Nurhaliza ke dalam pemain cakera padatnya. Sejurus itu ruang dalam kereta bergema dengan alunan suara merdu Siti.

“Awak ni tak boleh jalan perlahan-lahan ke? Macam lipas kudung!” Badrul cuba bergurau. Hana masih buat tidak peduli. Senyum pun tidak.

“OK lah, saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, jika ada tersilap kata dan terkasar bahasa kepada awak. Maaf zahir dan batin. Sekian.” Kata badrul sambil menoleh ke arah Hana yang sedang memandu dengan berhati-hati. Hujan mula turun membasahi jalan raya. Senja makin merangkak tiba.

“Awak ingat ni hari raya ke,” jawab Hana. Masih lagi masam. Badrul tergaru-garu kepala. Memang dia mati akal berdepan dengan gadis ini. Semuanya tidak kena.

“Saya nak minta maaf pada awak, tapi saya tak tahu nak cakap macamana. Saya tahu saya dah buat awak sedih tadi. Bukan niat saya, kalau saya tahu Mr Teddy tu amat berharga pada awak, saya tentu tidak cakap begitu.” Badrul akhirnya meluahkan sahaja apa yang dia rasa. Hana terus diam.

“Tak apa, lupakanlah,” jawab Hana perlahan.

“Esok petang kita cari lagi ya…” Kata Badrul cuba memujuk. Hana hanya mengangguk. Di kepalanya hanya memikirkan di manakah Mr Teddy waktu ini. Airmatanya kembali bergenang.

Mr Teddy! Baliklah..jangan tinggal Hana.
Rumah dua tingkat bercat hijau muda itu kelihatan sunyi dari luar. Hanya lampu di bilik tidur tingkat atas yang menyala. Kedengaran suara dua orang manusia sedang berbual-bual di bilik itu. Satu suara perempuan dan satu suara lelaki.

“Saya cuma risau bang…”

“Risaukan apanya? Dia dah besar panjang, tahulah dia jaga diri dia.” Jawab seorang lelaki sambil menyangkutkan kopiahnya di tepi dinding. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat Isyak.

“Tapi dia pergi tu dengan hati yang rajuk, entah ke manalah dia pergi agaknya,” sungut isterinya sambil melipat kain-kain di atas katil. Wajahnya masih muram. Ingatannya tertumpah kepada anaknya yang entah di mana. Dah makan ke belum? Tidur di mana? Sebak hatinya seketika.

“Erm, abang bukan marahkan diri dia, cuma tegur sikap dia aje.”
“Ya, saya tahu bang…”

“Geram menengok dia  asyik melepak di rumah siang malam, makan tidur , makan tidur je kerjanya.” Katanya lagi sambil melabuhkan punggung di tepi katil. Kakinya disilang ke depan.
“Asyik menambahkan gemuk dia je.”  Di matanya terbayang wajah anaknya Badrul yang bertubuh bulat itu. Anaknya memang bertubuh montel sejak kecil kerana kuat makan. Seleranya sungguh tidak terlawan oleh sesiapa yang sebayanya waktu itu. Sekali minum susu mesti 3 botol baru dia boleh tidur!
“Alah bang, gemuk gemuk pun anak kita juga.” Kata ibu Badrul sambil tersengih. Bagi dia anaknya tidaklah gemuk sangat cuma gempal sikit aje dari orang biasa. Tetap manis tetap lawa di matanya.
“Ye lah, abang bukan kata dia bukan anak abang cuma abang mahu dia buatlah kerja sambilan ke dari duduk rumah tunggu kerja yang entah bila dapat tu. Zaman gawat macam ni, bukan senang nak dapat kerja.” Leter ayah Badrul lagi.

Ibunya mengangguk setuju. Dia pun sudah puas memujuk Badrul supaya mencari kerja sambilan sementara dapat peluang kerja yang baik, tetapi ada sahaja alasan dari Badrul. Kerja  tidak sesuai lah, kerja berat sangatlah,  macam-macam. Sampai dia pun sudah malas berleter. Kipas  di siling terus berputar ligat. Keduanya mula diam melayan fikiran masing-masing.

Ayah Badrul bangkit menuju ke beranda di luar . Angin malam terus menerpa ke mukanya. Sejuk nyaman suasana malam selepas hujan membawa bauan kesegaran dari segenap alam. Ayah Badrul menghirup udara yang segar dan basah itu, kerlipan lampu di rumah jiran-jirannya menyuntik sedikit rasa tenang di hatinya waktu itu.

Dia duduk di atas sebuah kerusi besi yang ada di beranda . Lampu beranda sengaja tidak dipasang. Sebatang rokok diselitkan di celah bibirnya dibiar tidak menyala. Fikirannya hanya tertumpu pada perbualan terakhir antara dia dan anaknya, Badrul.
“Bad, abah dah carikan kau kerja di kedai cermin mata dekat dengan tempat kerja abah.” Kata dia bila balik dari kerja pada petang itu. Badrul hanya menoleh sekilas, lepas tu kembali tekun menatap skrin televisyen di hadapannya. Langsung tidak menjawab apa-apa. Melihatkan tiada tindakbalas dari Badrul, dia naik ke tingkat atas untuk mandi dan bersolat.

Lepas solat Maghrib dia turun menuju ke bilik makan. Badrul sudah ada di situ, sedang mengunyah nasi dengan berselera. Bau kari ayam masakan ibunya sangat meransang selera Badrul. Berselera sekali anaknya makan sehingga menambah nasi 3 kali. Dia hanya makan secukupnya lalu bangun ke dapur membasuh pinggan. Badrul masih meneruskan kunyahannya. Isterinya masih melayan selera Badrul yang kelihatan belum puas-puas.
“Bad, selepas makan, abah nak cakap dengan Bad.” Suapan Bad terhenti. Dia menjeling ke arah ibunya.
“Alah, ni tentu pasal kerja di kedai cermin mata tu kan?” tanya Bad. Matanya tunduk memandang nasi.
“Ya lah, penat abah kau tanya ke hulu ke hilir. Harapkan engkau,hmm…entahlah.” Sungut ibunya.

Badrul menghabiskan nasi di pinggannya. Ayam masak kari ibunya memang sedap. Sebenarnya apa-apa pun masakan ibunya memang sedap. Badrul tidak dapat menahan seleranya bila berhadapan dengan masakan ibunya.  Beratnya semakin bertambah sejak dia tinggal di rumah setelah menamatkan pengajian di sebuah universiti. Dalam masa dua bulan sahaja berat badannya sudah bertambah 5 kilogram. Badrul sedar yang dia semakin gemuk. Namun dia seperti tidak boleh berbuat apa-apa lalu dibiarkan sahaja badannya begitu yang penting hatinya senang dan dia tidak menganggu sesiapa!

“Bad, mari duduk sini sekejap.” Kedengaran suara abahnya melaung dari ruang tamu. Dengan langkah berat Badrul melangkah ke sana. Ayahnya hanya memandang Badrul yang terkedek-kedek datang.
“Dah kenyang?”
“Dah ayah, sedap betul emak masak malam ni,” Badrul cuba mengalihkan perhatian.
“Engkau tu memang dari kecil macam tu, apa saja yang mak kau masak engkaulah dulu yang habiskan.” Sampuk ayahnya sambil tersenyum. Teringat masa Badrul kecil, dia dan adiknya Badri suka berebut ayam goreng sampai bergaduh-gaduh. Semua itu sudah lama berlalu kini Badrul dan Badri sudah sama-sama dewasa. Badrul sudah tamat berlajar dan tinggal Badri di tahun 2 pengajian.
“Abah nak cakap apa bah?”, tanya Badrul setelah menunggu beberapa minit tetapi ayahnya belum membuka mulut.
“Pasal kerja tu lah, hendak tak kau kerja situ dulu?”
“Erm, Bad malaslah bah. Biarlah dulu…”
“Biar dulu? Biar sampai bila Bad? Sudah 5 bulan engkau berehat di rumah.” Bantah ayahnya. Badrul terdiam.

Mula menggaru-garu kepala yng tidak gatal. Dia tahu ayahnya mula marah. Dia hanya diam cuba untuk tidak melawan.
“Bad cubalah dulu kerja situ, bukan susah sangat pun,” pujuk ibunya yang baru tiba dari dapur. Ibunya duduk di sebelahnya. Dia masih diam membisu.
“Ya lah, Bad cuba dulu.” Ayah dan ibunya tersenyum.
“Esok engkau bangun pagi-pagi ,  abah hantar kau ke situ dulu sebelum abah ke pejabat.” Kata ayahnya penuh semangat. Badrul mengangguk walaupun kepalanya terasa kosong langsung tidak bersemangat.
“Bad naik atas dulu ya mak, abah”
“Ha, jangan tidur lewat sangat, esok dah nak bangun pagi,” pesan ibunya lagi. Badrul hanya mengiyakan sambil melangkah meninggalkan keduanya di ruang tamu.
Keesokkan paginya ayah Badrul bangun awal dari biasa. Selepas solat Subuh, abahnya menjenguk Badrul yang masih berdengkur.
“Bad, bangun. Solat Subuh dulu.” Bad terkejut dari mimpinya. Dia perlahan-lahan menuju ke bilik air, selesai solat Subuh Badrul kembali tergolek di atas katilnya.
“Mana si Bad ni Yah? Dah lambat ni?” kata ayah Badrul sambil tergesa-gesa minum teh yang dibuat isterinya.


Aroma air teh itu cukup menyegarkan minda dan semangatnya pagi itu. Tidak sabar rasanya untuk dia  menghantar anaknya memulakan kerja.
“Bang…Bad belum bangun bang. Lepas solat tadi dia tidur balik.” Kata isterinya setelah turun dari bilik Bad.
“Tidur? Sudahlah…” kata ayah Badrul sambil bangun dan menuju ke kereta. Isterinya hanya dapat memandang raut kekecewaan di wajah dia , namun tidak mampu bersuara.
Semangat paginya hilang dibawa khabar itu. Hatinya mula panas namun dia cepat-cepat beristifar. Pagi-pagi dah marah, rezeki pun lari, pesan ayahnya dahulu. Dia cuba bertenang semula lalu melambai kan tangan ke arah isterinya yang sedang menutup pagar rumah mereka. Sepanjang perjalanan ke tempat kerjanya hatinya meronta geram, geram kepada sikap Badrul.

Seperti biasa pukul 6 petang dia sampai semula ke rumahnya. Semakin dekat dia dengan rumahnya yang bercat hijau muda itu, semakin resah hatinya. Kemarahan seperti kembali  meresapi jiwanya namun dia sedaya upaya menepis hasutan syaitan itu. Pagi tadi dia terpaksa meminta maaf kepada Ah Lim kerana anaknya tidak jadi pula berkerja di kedai Ah Lim. Dia merasa sangat malu sebab sebelum itu dia yang beriya-iya meminta Ah lim menerima anaknya bekerja. Dia hanya mampu mengeluh, apa nak buat sudah anaknya begitu.

Sejak dia sampai di rumah, dia belum bercakap dengan Badrul. Badrul pun sedaya upaya mengelak dari bertembung mata dengannya. Dia tahu Badrul sendiri keresahan dan takutkan kemarahannya.
“Pergilah minta maaf dengan abah..”desak ibu Badrul. Dia datang menjenguk Badrul yang tidak turun-turun makan malam. Badrul hanya mendiamkan dirinya. Ibunya hanya menarik nafas panjang lalu keluar dari bilik kecil itu. Dia sudah tidak tahu bagaimana hendak mengendurkan ketegangan dua beranak itu. Sejak pulang petang tadi suaminya muram sahaja dan tidak banyak berbual seperti selalunya. Badrul pula seakan berkurung di dalam biliknya.

“Kau ni kenapa Bad? Sampai bila Bad nak duduk rumah ?”, tanya ayah Badrul. Akhirnya dia menjenguk Badrul di bilik anaknya. Badrul pura-pura sibuk membaca novel sambil berbaring di atas katil. Ayah Badrul menarik kerusi lipat di sudut bilik anaknya lalu duduk menghadap Badrul.
“Bad… Bad dah besar. Dah habis belajar. Tidak ke Bad terfikir hendak bekerja dan cari duit macam orang lain?” tanya ayahnya lagi. Bad menutup novel yang dipegangnya. Dia bangkit duduk bersandar pada dinding biliknya. Termenung tetapi tidak tahu apa yang dimenungkan.
“Kenapa semua orang cakap pasal kerja abah? Tak suka sangat ke Bad duduk rumah ni?” tanyanya  balik. Ayahnya tersentak. Mata mereka bertemu.
“Bukan itu soalnya Bad cuma sampai bila abah hendak tanggung semuanya?”
“Oh! Pasal makan minum Bad ya?” Ayah Bad hanya menggeleng-gelengkan kepala.
“Tak apalah bah, esok Bad akan keluar dari rumah ni. Janganlah abah bimbang soal perut Bad lagi.”

Ayahnya bangkit. Terasa darah mula mengalir ke mukanya. Hendak saja dia mengangkat tangan ke muka anaknya itu namun kasih sayangnya mengekang tangannya dari dilayangkan . Dia melangkah laju keluar dari situ menuju ke bilik tidurnya. Duduk beristifar kerana menahan marah yang teramat sangat, ternyata Badrul tersalah sangka dengan segala yang cuba disampaikannya. Dia terus berteleku sampai lewat malam. Badrul duduk termenung di hujung katil, menyesali kata-katanya. Dia tahu dia telah berlaku biadap. Terlalu megikutkan hati mudanya.
Keesokkan harinya setelah ayahnya pergi kerja, Badrul menjinjing beg bajunya keluar dari rumah. Ibunya terkejut dengan tindakan Badrul.
“Bad hendak kemana Bad?”
“Bad hendak cari kerja mak.” Sambil memakai kasut di muka pintu.
“Ke mana ? Kenapa bawa beg semua ni?”
“Bad hendak cari kerja di bandar lain mak. Doakan Bad ya. Halalkan makan minum Bad selama ini.” Katanya seraya mencium tangan ibunya. Ibunya cuma mengalirkan airmata.Pipi Bad yang montel itu diciumnya penuh kasih.  Terasa perpisahan ini sangat menyedihkan hatinya kerana diakibatkan perbalahan.
Setelah kelibat anaknya hilang disebalik selekoh lorong di taman perumahan itu . Ibu Badrul menelefon suaminya di pejabat.
“Bang, anak kita dah pergi bang. Dia bawa beg.”
“Biarkan…” Kata suaminya sepatah, telefon diletakkan. Ibu Badrul menangis teresak-esak. Awan mendung di luar seolah mengerti kedukaan hati seorang ibu, tidak lama kemudian hujan mencurah-curah membasahi tanah. Ibu Badrul bertambah pilu, basahkah anakku?
Bau masam tong sampah berwarna hitam itu sedikit pun tidak meloyakan tekak Atan. Tangannya pantas menyelongkar tong itu mencari-cari tin minuman jika ada. Ah! Ada sebuah. Atan tersenyum.Tin itu dimasukkan ke dalam beg plastik putih . Di dalam beg platik itu sudah bergolekkan beberapa tin minuman pelbagai jenama. Sampah-sampah yang lain dicurahkan ke dalam sebuah plastik hitam besar dan tebal. Kedua beg plastik itu diheret perlahan di sepanjang koridor tingkat satu bangunan Kolej Tun Teja.

Setelah semua tong sampah di tingkat itu dikosongkan, Atan turun ke tingkat bawah sambil mengheret plastik sampah hitam yang semakin berat itu.

Suasana di kolej itu beranjak sepi. Jam di dinding sudah hampir pukul 6 petang. Hampir semua pelajar di situ sudah pulang, jika ada pun yang masih berbual-bual di pintu masuk kolej. Atan meletakkan beg plastik putihnya ke bawah tangga.  Tiba-tiba matanya seakan terlihat  sepasang mata kecil memerhatikannya. Dia menundukkan kepalanya menghampiri mata itu. Diambilnya perlahan-lahan.

“Anak patung?” Atan menyapu anak patung yang berhabuk itu ke bajunya yang lusuh lalu Atan masukkan ke dalam beg plastik putih tadi . Atan kemudian berpaling dan mengambil penyapu serta pengaut sampah. Atan mula menyapu di sekitar kawasan tingkat 1 bangunan itu. Setelah selesai, Atan mengangkat beg plastik hitam tadi lalu menghantarnya ke tong sampah besar  di belakang stor. Atan singgah di stor sekejap untuk menyimpan penyapu dan pengaut sampah lalu menarik beg sandangnya yang berwarna hijau lusuh. Botol airnya turut diikatkan dipinggang, dia berjalan laju ke arah tangga. Beg plastik putih tadi ditarik dan dijinjing keluar.

Hari yang semakin petang dan langit yang semakin gelap seperti mahu hujan membuatkan Atan tergesa-gesa menarik basikal buruknya yang tersandar di belakang stor. Dengan kayuhan yang terdaya oleh kudratnya dia mengayuh basikal tua itu melalui sebuah lorong kecil di tepi pagar kolej itu menuju ke sebuah perkampungan setinggan yang tidak jauh dari situ.


Di kiri kanan lorong kecil itu bau lopak dan sampah yang dibuang sebebasnya bersemadi bersama hanyir longkang yang mengalir lesu di belakang rumah–rumah setinggan di situ. Atan sudah lali bahkan hidung anak- anaknya juga sudah lali . Sudah tidak terbau kan apa-apa lagi. Segalanya seperti udara biasa yang tersedut dan terhembus oleh paru-paru masyarakat di mana pun. Segalanya demi sebuah kehidupan yang perlu diteruskan oleh mereka di situ. Siapakah yang akan kesah tentang bau jika kehidupan ini tiada pilihan?
Dari jauh kelihatan anak perempuan sulungnya menggendong adik bongsunya sambil bermain teng-teng di luar rumah bersama anak-anak jiran . Segalanya dikongsi bersama hatta tanah lapang sekangkang kera buat bermain. Asal ada kepuasan  maka lahirlah bahagia mereka itulah anak-anak kecil di kota setinggan yang tersembunyi di balik deretan bangunan yang tinggi-tinggi di hadapannya. Atan turut tersenyum membalas senyuman yang dilempar kepadanya.

“Abah balik…”, jerit anak yang nombor dua. Tangannya sepantas kilat menyambut beg plastik putih dari tangan Atan lalu menuju ke tepi rumah . Anaknya itu sangat tahu, apa kandungan di dalam beg plastik putih itu, setiap hari beg putih itu akan mengandungi beberapa tin aluminum yang boleh ditukar menjadi duit buat belanja sekolahnya. 

Atan menyandarkan basikalnya ke dinding rumah mereka , tongkat basikalnya sudah lama patah dan tidak mampu diganti. Perlahan-lahan Atan melabuhkan punggungnya di sebuah pangkin kayu, walaupun sudah mula dimakan anai-anai Atan masih yakin ianya belum mahu menyembah bumi. Atan mengibas-ngibas mukanya dengan topi lusuh yang dipakainya tadi.Rambutnya yang hampir botak itu diraup ke belakang. Atan tersengih melihat keletah anak-anak di hadapannya. Riang tersenyum bagaikan dunia ini tiada dukanya.
“Abah, anak patung siapa ni?”

Atan menoleh ke arah anak nombor duanya. Baru dia teringat kepada anak patung beruang yang dijumpai di bawah tangga kolej. Pada awalnya dia ingin menyimpan di stor sahaja sebelum menyerahkan ke pejabat keesokkan hari. Ah! Bagaimana ni? Masalah besar!

Anak sulungnya berhenti bermain tatkala terpandang adiknya sedang menimang-nimang patung beruang coklat itu. Mukanya tersenyum tidak berkelip menatap patung itu. Rambutnya yang kerinting dibuai angin petang, dalam sinar matanya Atan faham keinginan anaknya itu. Si adik yang di dalam gendongan mula merengek, tangannya cuba mencapai patung beruang itu dari tangan kakaknya namun di tepis pantas. Adik bongsunya meraung bila keinginannya terhalang.


Atan mengambil anak bongsunya di timang-timang tinggi. Anaknya mula diam dan mengekek ketawa. Kedua anaknya yang lain hanya memandang sambil tersengih.
“Mak mana?”
“Mak belum balik abah”, jawab anak keduanya. Memang anak itu yang paling banyak mulut.
Atan mengangguk, tentu isterinya buat kerja lebih masa lagi hari itu. Hujan mula turun. Atan dan anak-anaknya berlari  masuk ke dalam rumah . Begitu juga anak-anak setinggan yang lain bertempiaran mencari perlindungan. Hujan membawa rahmat tetapi kadangkala longkang yang tersumbat adalah ancaman kepada nyawa mereka yang tinggal di tepi longkang besar itu. Pasti malam itu mata mereka sukar dilelapkan lagi.

“Berilah!” bentak anak sulung Atan yang berusia 10 tahun itu. Tangannya menarik anak patung beruang itu dari tangan anak keduanya. Yang bongsu di atas lantai hanya memerhati dengan penuh harapan agar satu masa dia juga dapat memeluk anak patung comel itu.
“Aku punya!” sahut anak keduanya. Atan hanya mengeluh. Serba salah. Dia sudah menjangkakan masalah ini akan timbul. Dia tidak mahu menyebelahi sesiapa namun pergaduhan itu mula menambah kepenatan tubuh dan mindanya. Atan lantas bangun lalu mengambil anak patung itu dari tangan anak keduanya lalu menyimpannya tinggi-tinggi di atas almari baju yang senget di tepi dinding. Kedua anaknya hanya memandang penuh hampa.
Senja beranjak malam. Hujan sudah mula teduh. Cengkerik mula bersahutan dengan laungan si kodok yang pastinya menanti pasangan mereka. Atan berdiri di muka pintu. Wajah isterinya masih belum muncul-muncul lagi padahal anak-anak mereka sudah lama lelap di atas lantai yang beralas tilam buruk. Anak patung tadi masih tersandar di atas almari hanya memerhati rumah itu dari matanya yang kecil itu.
kesian anak-anak ini ya, kalaulah Hana tahu pasti dia akan membelikan mereka anak patung yang comel untuk anak-anak ini…Hana mana Hana?’

Dalam remang cahaya yang hanya disuluh oleh liuk lentuk api lilin di atas meja, Mr Teddy dapat memerhati dunia di dalam rumah kecil itu. Semuanya berbeza dari dunia yang dilihat di rumah Hana. Rumah Hana walaupun tidak sebesar istana namun cukup luas untuk mereka bertiga Hana, ibu Hana dan Mr Teddy. Bilik Hana cantik. Di dindingnya ada bunga-bunga. Hana selalu letak dia di atas katil Hana yang empuk itu. Mengapa rumah ini tidak ada katil? Malah lampu pun tidak ada? Bila tidur malam, Hana peluk dia kuat-kuat. Kadang-kadang Hana nangis sebelum tidur , Mr teddy mahu sapu airmata Hana tetapi Mr teddy tidak boleh…


Malam semakin larut, bolehkah Hana tidur malam ini ? Mr teddy tidak dapat memeluk Hana seperti selalu. Mr teddy tidak dapat temankan Hana menatap bintang di langit lagi. Mr Teddy tidak dapat menemankan Hana yang suka bercerita pada bintang-bintang tentang ayah Hana. Mr Teddy masih ingat kali pertama ayah Hana memegang Mr Teddy. Waktu itu ayah Hana masuk ke kedai dan terus menuju ke arah Mr Teddy. Mata ayah Hana bersinar terang, penuh kasih dengan senyuman yang tulus ikhlas. Seolah sinar kasih itu menikam tepat ke jantungnya lalu sejak itu tertanamlah kasih dalam diri Mr Teddy.

Setelah ayah Hana pergi…kasih ayah Hana tidak mati. Kasih ayah Hana yang tertanam di dalam diri Mr Teddy selalu menemani  jiwa Hana yang sunyi. Mr Teddy tahu bahawa Hana selalu kesunyian . Hana tidak ada adik beradik dan ibu Hana seringkali sibuk berkerja. Hanya dialah teman Hana , kawan Hana, sahabat Hana dari dulu sehingga kini .Pada Mr Teddy Hana curahkan segala perasaan walau pun tanpa suara. Mr Teddy faham. Kadang-kadang Hana balik dengan senyum gembira memeluk dan menciumnya, kadangkala Hana balik dengan wajah sugul dan membenamkan mukanya di atas tilam. Mr Teddy tahu semua rahsia Hana.

“Krekkk….” tiba-tiba pintu kayu terbuka dengan perlahan.
“Abang belum tidur?”
“Belum. Mengapa lewat sangat balik?”
“Mah buat OT bang…”
“OT? Kalau OT pun dah lama sampai rumah.”
“Ah! Mah penatlah bang, esok pagi dah kena pergi semula”
“Hmm…”

Atan termenung di tepi dinding. Bauan isterinya lain benar. Bukan bau hanyir longkang di belakang rumah tetapi bauan wangi yang tidak pernah tercium oleh hidungnya. Atan hanya mengeluh, perlahan-lahan dia merebahkan tubuhnya di tepi pintu. Dari kelopak matanya yang hampir tertutup dia teringat satu ketika dahulu ternampak isterinya melangkah keluar dari sebuah kereta tidak jauh dari lorong yang menuju ke perkampungan setinggan itu.

Waktu itu dia hanya mahu bersangka baik. Barangkali bas isterinya rosak. Bahkan saat ini juga dia mahu bersangka baik. Wajah tulus suci anak-anaknya direnung satu persatu, antara kekecewaan terhadap diri sendiri dan rasa tidak mahu mengalah bergelutan. Kecewa kerana dia bukan ayah yang mampu memberikan kemewahan namun hidup ini belum berakhir untuk dia mengalah.

Esok pagi dia kan terus mengayuh basikal buruknya dari satu bangunan ke satu bangunan.Dia akan terus menyapu dan menyapu. Membersihkan kekotoran yang dilakukan penduduk kota. Memang dia tiada harga di mata dunia namun biarlah dia tetap berharga di mata anak-anaknya. Mencari rezeki yang halal buat mengisi perut anak-anaknya, pedulikan apa orang kata. Mr Teddy terus memerhati dari atas almari…di mana Hana?
Azan Maghrib sedang berkumandang dari masjid negeri apabila kereta  Hana tiba di hadapan sebuah flet setinggi 4 tingkat. Itu kali pertama Hana masuk ke kawasan itu. Masih ramai kanak-kanak yang berlari-lari walau pun malam mula merangkak tiba. Beberapa pasang mata menoleh ke arah kereta Hana yang kelihatan asing di situ.

“Thanks Hana sebab hantar saya sampai ke depan tangga.” Kata Badrul sambil tersengih.

“Awak tinggal tingkat berapa?”
“Tingkat 4, rumah hujung sekali,”  jawab Badrul sambil membuka pintu kereta.
“Tingkat 4?” tanya Hana kehairanan.

Badrul hanya tersengih, dia memahami apa yang Hana fikirkan. Itu bukan satu pilihan kerana dia  tetap bersyukur masih punya tempat berteduh  di waktu malam. Tiba-tiba perasaan sayu menjengah hatinya.
“OK lah, esok kita cari lagi ya…” Kata Bad sambil menutup pintu kereta Hana dengan kuat.

Hana tersentak. Adoi…habislah kereta aku!  Hana memerhatikan langkah Bad sehingga tubuh Bad hilang di balik tangga. Hana mula membayangkan  Badrul termengah-mengah  memanjat tangga sampai ke tingkat 4. Kesian Badrul…Macamana dia boleh panjat tangga itu setiap hari agaknya.Berapa berat badan dia? 100 Kilo? 120 kilo?  Sekali pandang macam apa ya? Ha…macam Mr Teddy yang dipakaikan cermin mata ! Hana tergelak sendiri lantas menghidupkan enjin keretanya semula. Ada ke pula macam Mr Teddy? Mr Teddy aku lagi cute! Hana terus tersenyum.

Kereta Hana meluncur laju ke jalan besar menuju ke Restoran Janji Sayang. Kereta bertali arus di atas jalanraya menuju ke bandar. Kehampaan masih terbayang di wajah Hana namun dia mula merasa tenang. Wajah Bad yang berambut lurus  dan memakai cermin mata itu kembali menjengah fikirannya. Di waktu dia kesusahan sekurang-kurangnya Bad mahu menghulur bantuan berbanding dengan orang lain. Dia harap Bad ikhlas membantunya mencari Mr Teddy. Nanti dia mahu belanja Bad makan-makan kalau mereka berjaya menjumpai semula Mr Teddy, itu janji Hana!

“Jumpa tak?” Puan Khalidah menyoal Hana sejurus Hana tiba. Hana menggeleng hampa.
“Tak apalah esok cari lagi, mungkin tercicir di tempat-tempat yang Hana pernah singgah ke.” Ibu Hana mencadangkan.
“Petang esok Hana hendak ke rumah kawan Hana sebab Hana singgah rumah dia semalam. Hana dah call tapi dia tak angkat.” Hana menjawab sambil menarik kerusi di sebelah ibunya.
“Jangan duduk dulu! Pergi mandi dan solat Maghrib , nanti habis waktu.”

Hana tidak jadi duduk di kerusi, dengan perlahan dia  mengheret beg sandangnya perlahan menuju ke sebuah bilik di belakang restoran. Sebuah bilik memang dikhaskan untuk Hana dan ibunya berehat dan bersolat. Seusai solat Hana memanjatkan doa untuk ayahnya dan malam ini Hana juga memohon agar ditemukan semula dengan Mr Teddy. Hana termenung sebentar di atas sejadah. Dia percaya apa yang telah berlaku adalah dugaan tuhan kepadanya. Dia harus tabah dan meyakini bahawa pasti akan ada hikmah di sebaliknya walaupun saat itu dia amat merasa kehilangan.

Suasana di Restoran Janji Sayang semakin rancak. Semakin ramai pelanggan yang singgah untuk makan malam. Pekerja dan pelayan sibuk sekali memenuhi permintaan pelanggan. Ibu Hana turut tidak menang tangan membantu mana yang terdaya. Restoran itu memang terkenal dengan keenakan roti Boom yang disediakan dari pagi hingga pukul 12 malam setiap hari. Keunikkan aroma dan rasa berserta  3 jenis kuah yang berbeza sudah sebati dengan selera pelanggan tetap mereka. Selain itu ‘roti banjir’ turut diminati ramai di samping lauk pauk beraneka jenis dari resepi Puan Khalidah sendiri.

 “Abang Mat, roti banjir satu!” Hana melaung dari belakang. Pekerja yang dipanggil abang Mat menoleh lantas tersenyum.
“Tiap-tiap malam makan roti banjir je…mana nak besar.” Selorohnya kepada Hana. Hana hanya ketawa. Ibu Hana turut ketawa, memang itu kegemaran Hana sejak kecil.
“Abang Mat, kuah kasi lebih!” laung Hana lagi.

Abang Mat menghantar sepinggan roti banjir ke meja Hana. Menyusul pula segelas sirap. Itu memang kebiasaan Hana yang telah diketahui oleh semua pekerja. Hana tidak suka air lain. Hana memandang roti banjir di hadapannya dengan penuh berselera.

“Badrul tadi dah balik?” Abang Mat bertanya sambil berdiri di tepi Hana. Hana menggangguk.
“Dia tinggal di rumah abang Mat kan?”
“Ya, sementara dia dapat tempat tinggal lain.” Jawab Abang Mat lancar.
“Sebelum ini dia tinggal mana?”
“Tinggal di rumah emak ayah dia di  Ayer Keroh.” Hana mengangguk lagi.
“Dia baru datang sini ke Abang Mat?”
“Amboi! Hana…banyak sangat soal ni,” bidas Abang Mat sambil ketawa dan menuju ke hadapan semula. Hana turut ketawa. Tangannya lincah menarik roti canai di dalam pinggan.
 “Mak dah makan?”
“Dah petang tadi…” jawab Ibu Hana sambil melangkah meninggalkan Hana menuju ke kaunter.

Hana terus menyuap roti canai ke dalam mulutnya. Perutnya terasa begitu lapar. Hana meneruskan suapan demi suapan dengan berselera sambil matanya memerhatikan siaran berita di televisyen . Kisah seorang bayi yang dijumpai di sebuah pondok bas menarik perhatiannya. Dia mengikuti berita itu sehingga tamat lantas berdiri untuk ke dapur.

Tiba-tiba langkah Hana terhenti. Matanya terpandang ibunya sedang berbual mesra dengan seorang lelaki di meja hadapan. Hana mula merasa jengkel. Dia terus menuju ke dapur dan membasuh pinggan dan gelasnya. Mukanya bertambah muram. Fikirannya keliru. Dengan langkah berat dia menuju ke pintu dapur lalu duduk di sebuah kerusi di luar restoran. Pekerja-pekerja lain tidak mempedulikan Hana lantaran sibuk dengan tugas masing-masing.

Hana terus termenung. Ingatan kepada arwah ayahnya terus berputar. Alangkah bahagianya jika ayahnya masih hidup.
“Hana, buat apa duduk dalam gelap ni?” tegur ibu Hana.
“Masuk dalamlah, banyak nyamuk di luar ni.” Sambung ibunya lagi. Hana masih diam. Hatinya sebal dengan sikap ibunya.

Malam itu seperti biasa setelah restoran ditutup, mereka berdua pulang ke rumah . Di dalam perjalanan pulang, ibu Hana mula perasan akan sikap Hana yang agak dingin dari biasa.
“Kenapa Hana diam aje, selalunya macam murai tercabut ekor?” Hana masih membisu. Lagu ‘Rama-rama’ nyanyian Ella merdu berkumandang , namun lagu itu tidak dapat menghiburkan kedua hati yang sedang tertanya-tanya.

“Hana tak suka lah emak cakap dengan Pakcik Hashim tu.”
Jemari ibu Hana pantas mematikan radio, suasana kembali sunyi. Hanya deruan angin sejuk dari penyaman udara kereta yang kedengaran.
“Apa salahnya? Pakcik Hashim tu kan kawan lama abah Hana. Kita dah lama kenal dia,” jawab ibu Hana dengan tegas.
“Iyalah tapi Hana tengok dia makin kerap datang kebelakangan ini.”
“Biarlah…dah dia makan di kedai.”
“Ha…itulah dia puncanya. Sebab dia tak ada isteri dan emak tak ada suami,” sampuk Hana dengan cepat.
“Hana, jangan cepat bersangka buruk pada orang. Emak dengan Pakcik Hashim tu tak ada fikir pasal perkara lain tau…” Suara ibu Hana semakin tinggi.

Hatinya mula terasa tidak enak dengan sikap Hana. Hana hanya membisu. Apa pun yang dikatakan ibunya, dia tetap tidak suka pada Pakcik Hashim. Memang Pakcik Hashim baik dengan mereka sejak Hana kecil namun itu bukannya alasan untuk mendekati ibunya.

“Lagi pun dia pelanggan tetap kita, takkan lah emak  nak sombong pula dengan dia. Hana fikirlah sendiri.” Kata ibu Hana lagi.Perbualan mereka  terhenti di situ. Keduanya terus membisu.
Malam itu ibu Hana tidak dapat melelapkan mata. Walau pun tubuhnya kepenatan namun kata-kata Hana tadi terus terngiang-ngiang di telinganya. Wajah Hashim mula berlegar-legar bersilih ganti dengan wajah arwah suaminya. Dia mengenali Hashim dan arwah suaminya hampir serentak.

Waktu itu mereka sama-sama bergiat dalam persatuan belia di tempat mereka. Masa berlalu dia dan arwah suaminya jatuh cinta lalu berkahwin. Hashim pula yang bekerja sebagai guru berkahwin dengan anak muridnya. Namun isterinya meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Semenjak itu Hashim hidup menduda sehinggalah sekarang.

Ibu Hana menatap gambar ayah Hana yang tergantung di tepi dinding. Airmatanya mula bergenang. Sedikit pun kasihnya tidak pernah kurang namun sebagai manusia dia tetap merasa kesunyian . Dia perlukan seorang teman untuk berkongsi segalanya. Salahkah? Lambat laun Hana pasti berkahwin dan hidup berkeluarga juga. Khalidah terus tenggelam dalam fikirannya.

Di sebalik dinding Hana masih lagi termenung. Malam itu Hana merasa sangat sunyi. Dia memandang ke arah katil namun Mr Teddy tidak ada seperti selalunya. Sekosong katil itu sekosong itu jua hati Hana. Pada siapa dia hendak mengadu, kepada siapa dia hendak melepaskan sendu. Hatinya bertambah duka. Dunia ini dirasakan amat sepi dan tidak adil,  setelah ayahnya pergi kini ibunya pula ingin hidup sendiri. Mengapa semuanya  tinggalkan Hana?  Apa salah Hana?

Pagi ini wajah Badrul tidak secerah selalunya. Dia menyarung baju t-shirt hijau tanpa kolar ke tubuhnya lalu menyisir rambut sehingga rapi . Berkaca di hadapan cermin berbentuk empat segi di tepi dinding . Segalanya sudah lengkap namun sinar matanya tetap memancarkan kesedihan. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Dia duduk di muka pintu sambil menekan beberapa nombor di telefon bimbitnya.

“Assalamuaalaikum, mak.”

“Waalaikumussalam, Bad ! Bad sihat?” Suara ibunya kedengaran riang di hujung talian.

“Sihat mak. Mak dan abah sihat?”

“Sihat…Bad di mana ni?”

“Di Melaka mak.”

“Melaka? Bad tinggal dengan siapa? Bad dah kerja ke?” Soalan dilemparkan bertubi-tubi ke arahnya.

“Bad sewa rumah dengan kawan-kawan. Hmm..Bad dah kerja sementara mak. Mak jangan risau, nanti Bad balik tengok mak.” Airmatanya mula bergenang. Suara kerisauan ibunya dari sana menyentuh hatinya.

“Mak, sampaikan salam Bad pada abah. Bad nak pergi kerja ni. Assalamualaikum, mak.” Telefon dimatikan. Dia tidak sanggup lagi mendengar suara ibunya. Dia faham. Suara itu sarat dengan kerinduan terhadapnya. Dia rasa berdosa . Bersalah.

“Bad, semalam ada surat untuk kau. Nanti abang ambil sekejap.” Abang Mat menegur dari belakang. Bad menyandarkan tubuhnya ke pintu, menanti.

“Nah! Macam surat panggil interview je.” Abang Mat menghulurkan surat berwarna putih.
Masih berdiri di hadapan Badrul dengan mata yang penuh tandatanya.

Badrul membuka sampul itu dengan berhati-hati. Dia membaca setiap baris perkataan yang tertera di situ dan melipatkannya kembali. Dimasukkan semula ke dalam sarung dengan cermat.

“Macamana?”

“Haah, memang surat temuduga. Minggu depan.” Jawab Badrul ringkas sambil berdiri. Abang mat cuma tersenyum. Badrul membalas dengan senyuman yang dipaksa-paksa.

Badrul melangkah tenang menuruni tangga flet. Dia berjalan melalui sebatang denai kecil ke sisi flet menuju ke sebuah pondok bas. Hujan renyai-renyai mula turun. Langit mendung tidak berawan. Badrul sengaja memilih kerusi di belakang bas.Perlahan-lahan tangannya menarik keluar surat tadi. Membacanya semula. Badrul mengalihkan pandangan ke luar tingkap bas, rintik-rintik hujan menambah kesayuan hatinya. Surat dilipat semula dan disimpan. Dia tidak akan pulang tanpa kejayaan. Itu janji dia!

Kolej Tun Teja mula dibanjiri pelajar-pelajar. Hujan renyai yang turun sejak awal pagi membuatkan situasi agak kelam kabut. Ramai yang berlari-lari di dalam hujan menuju ke bangunan utama. Hana turut berlari sambil menjinjing beberapa fail ditangannya. Sedikit sebanyak tempias hujan membasahi rambut dan bajunya.

Hana menuju ke cafetaria. Menarik sebuah kerusi aluminium yang masih kosong dan meletakkan fail-fail tadi di atas meja. Tangannya menyeka titis-titis hujan yang singgah dirambut lurusnya. Mata Hana memerhati keadaan di sekeliling dengan tenang. Wajah Sara ,teman baiknya masih belum kelihatan dari celah-celah kesibukan pelajar-pelajar yang lalu-lalang. Hana membuka sebuah fail berwarna biru. Nota-nota kuliah pengurusan dibacanya satu-persatu, walaupun fikirannya melayang entah ke mana. Hana masih terus membaca sambil mengharapkan Sara muncul segera.

“Kau tahu tak, bas aku penuh hari ni…aku kena tunggu bas nombor 3 baru dapat naik.” Suara Sara yang riuh rendah itu mengejutkan Hana.

“Dah jumpa Mr. Teddy?” Sara yang berwajah kacukan Melayu-Cina itu bertanya penuh prihatin. Hana menggeleng.

“Apa kata kalau kita buat poster dan tampal sekeliling kolej, nak?” Sara memberi pendapatnya. Mata Hana bersinar. Mereka berbincang seketika lantas bergegas ke bilik komputer di tingkat 1. Mereka bernasib baik kerana bilik itu masih kosong. Hana membuka komputer ribanya, mencari gambar Mr. Teddy. Membuka perisian Printshop dan memulakan kerja-kerja membuat poster. Setelah mencuba beberapa minit, Sara menjerit riang,“Dah siap pun!”

Mereka membuat 50 salinan bersaiz A4 menggunakn mesin pencetak. Bergegas turun ke tingkat bawah menuju ke pejabat. Mereka berjaya menemui pegawai pentadbir kolej dan memohon keizinan menampal poster tersebut. Membahagi kepada dua bahagian dan mula menjalankan tugas masing-masing. Sara menampal di sekitar kolej dan Hana pula mengedarkannya ke kelas-kelas.

“Lawalah anak patung ni…” Suara seorang pelajar lelaki mengusik Hana.

“Kalau aku jumpa macamana? Berapa ribu nak bayar aku?” Hana terkebil-kebil. Terkejut.

“Tak mahu bayar tak apa..asalkan ikut aku tengok wayang. Bayarlah aku dalam panggung….” Usiknya lagi.

Serentak itu kelas bergegar dengan ketawa pelajar-pelajar lelaki. Muka Hana kemerahan menahan rasa malu dan marah. Tangannya pantas merentap poster itu dari genggaman pelajar lelaki tadi. Meluru keluar kelas. Berlari selaju yang boleh.

Langkahnya terhenti apabila sampai di hujung tingkat itu. Rintik-rintik hujan di balik tingkap bangunan kolej itu sama lebat dengan titisan airmata Hana. Dia tersedu-sedu. Hatinya sakit dipermainkan dan ditertawakan. Kalaulah Mr Teddy itu bukan pemberian terakhir ayahnya, dia sendiri tidak mungkin bersusah payah sebegitu. Mengapakah tidak wujud langsung sedikit simpati pada dirinya? Hana terus menitiskan airmata. Segala harapannya utuk menemui semula Mr. Teddy seakan semakin sirna. Kehilangan harapanlah yang membuatkan dia terasa hampa.

“Kenapa ni?” Sara menegur Hana dari belakang.

Dari jauh dia telah melihat Hana tersedu sedan di tepi tingkap. Sebagai sahabat baik Hana sejak sekian lama, Sara mengerti kepedihan hati Hana. Hana terus membisu. Airmatanya seperti tidak mahu berhenti. Sara memeluk bahu Hana.

“Dahlah tu, mari kita masuk kelas dulu. Nanti lecturer marah pula.” Sara memaut bahu Hana lembut.

Seiringan mereka melangkah ke kelas di tingkat 2. Kelas demi kelas mereka hadiri hari itu. Setelah kelas terakhir tamat mereka berdua menyusun langkah ke aras bawah. Tiba-tiba langkah Hana terhenti. Mata Hana tertancap ke arah sekeping poster Mr. Teddy yang ditampal di tepi tangga. Poster itu telah diconteng-conteng oleh entah siapa. Hatinya tersayat kembali.

“Tak apalah Hana, esok kita print lagi dan tampal semula,Ok.” Sara cuba memujuk. Tangan Hana ditarik.

“Sara, thanks for your help. Kalau tak ada kau, aku makin buntu.” Sara hanya tersenyum.

“Aku hantar kau balik ya?” kata Hana . Sara menggeleng. Mukanya melemparkan senyuman melirik ke arah Hana. Hana segera faham.

“O..cik abang jemput kau hari ni ya?” Sara masih tersenyum.

“Aku makin jarang jumpa dia sekarang. Dia asyik outstation aje.” Sara menjelaskan situasinya.

Hana mendengar dengan penuh minat. Sara dan Amri memang sudah lama berpacaran. Hana turut merasa gembira dengan perhubungan mereka.

“Oklah, aku balik dulu. Jumpa esok.” Hana mengatur langkah menuju ke keretanya. Hujan sudah lama berhenti. Sara melambaikan tangannya dari jauh. Kereta Hana meluncur laju meninggalkan kawasan kolej.

Atan baru tiba. Basikal buruknya disandarkan di belakang bangunan. Beg dan botol air disimpan di dalam bilik stor. Dia mula mengosongkan tong-tong sampah seperti biasa. Mula menyapu di tingkat bawah sekali. Beberapa orang pelajar masih duduk berbincang di ruang legar di hadapan pejabat, kehadiran Atan tidak dipedulikan mereka.

Tiba-tiba mata Atan terpandang sekeping poster di tepi tangga. Matanya terkelip-kelip memerhati. Atan menghampiri poster itu dengan perlahan. Sah! Itu gambar anak patung yang ditemuinya semalam. Atan menyapu peluh di dahinya yang mula memercik tiba-tiba. Darahnya tersirap. Perasaan kesal dan bersalah bertubi-tubi menghentam hatinya.

Atan menyedari bahawa anak patung itu sangat penting kepada pemiliknya. Perlahan-lahan tangannya menarik poster itu lalu dilipat kemas. Dimasukkan ke dalam poket kiri seluarnya. Atan terus mnghayunkan penyapunya. Lantai itu perlu dibersihkan. Esok Atan akan memulangkan semula anak patung itu kepada yang berhak. Atan tidak mahu menyimpan sesuatu yang bukan haknya. Walaupun dia miskin namun dia bukan pencuri. Itu janji Atan!


Atan bersemangat untuk pulang petang itu. Udara selepas hujan menyuntik rasa segar dan nyaman ke tubuhnya yang berusia hampir separuh abad. Kayuhan demi kayuhan dikerahkan. Denai yang biasa dilalui setiap hari terasa lebih panjang , lebih jauh. Mendung di langit masih serata walau hujan telah lama berhenti. Semangatnya tetap bersisa. Dia perlu segera memastikan anak patung itu masih tersimpan dengan baik di atas almari bajunya. Anak patung beruang itu mesti dipulangkan esok!

“Kenapa menangis ni?” Atan menegur anaknya yang sulung. Dari jauh Atan terlihat anak sulungnya itu menangis teresak-esak di atas pangkin di luar rumah. Dia kehairanan. Basikalnya segara disandarkan ke tepi dinding rumah seperti biasa.

“Adik mana?” Dia menyoal sambil bercekak pinggang. Anak sulung hanya menunjukkan jari ke arah rumah. Atan melangkah cemas. Detak jantungnya berdegup kencang, segala kemungkinan yang buruk terbayang di fikirannya.

Di atas lantai yang beralas tikar getah yang mula pudar warnanya, anak bongsunya duduk bermain anak patung beruang. Anak tengahnya turut bermain sambil tersengih menyambutnya pulang.  Atan menarik nafas lega tetapi matanya menangkap sesuatu yang tidak kena. Mengapa anak bongsunya memakai baju yang cantik?
Sekilas telinganya menangkap bunyi pergerakan  di luar rumah. Bunyi itu datang dari arah bilik mandi yang dikepung dengan  atap-atap zink yang mula berkarat ditelan waktu. Atan bergerak ke arah bunyi itu. Tangannya menguak pintu bilik mandi yang memang tidak pernah mempunyai kunci.

“Eh! Mah…cepat balik?” tanyanya kehairanan. Terkejut melihat susuk tubuh yang sangat dikenalinya di situ. Isterinya tidak menjawab. Segera melangkah meninggalkan Atan terkulat-kulat. Bau harum tubuh isterinya selepas mandi itu seakan turut sama meninggalkan dia di situ. Atan mengekori isterinya ke dalam rumah. Jam di dinding hampir pukul 7.30 malam. Perutnya sudah mula berkeroncong.
Atan masih lagi memerhatikan gelagat isterinya. Dalam remang cahaya lilin yang dipasangnya sejak tadi, dia melihat isterinya memakai pakaian cantik. Sehelai  blaus berwarna merah bersama sehelai seluar panjang hitam. Atan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Fikirannya menjadi keliru. Isterinya terus membisu.

“Mah nak pergi mana ,malam-malam ni?” Tiada jawapan.
Isterinya menyisir rambutnya yang pendek berketak sehingga rapi. Wajahnya di oles sedikit bedak dan diratakan pemerah pipi. Bibirnya disapu gincu kemerahan. Atan masih memandang tidak berkedip.
Isterinya menoleh ke arah sebuah beg pakaian yang sudah siap di tepi pintu. Menoleh ke arah Atan. Mata Atan membesar, wajahnya pucat. Isterinya lantas mendokong anak bongsunya dan bergerak keluar. Anak perempuan sulungnya tiba-tiba muncul di depan pintu. Airmatanya masih mengalir tanpa henti. Mata mereka dua beranak saling beradu.


“Mak, jangan pergi! Jangan bawa adik mak!” rayunya sambil mencengkam pergelangan tangan ibunya kemas-kemas. Tangan itu direntap kasar. Mata ibunya menyinga.
“Mah!” Jerit Atan. Tubuhnya menggigil menahan marah. Penumbuknya digenggam kuat. Hatinya cuba mengingati Tuhan sekuat mungkin. Nafasnya mula tercungap-cungap. Asmanya tiba-tiba menyerang.
Isterinya tetap tidak menoleh ke belakang. Anak sulungnya tersandar di tepi dinding di sebelah adiknya. Masih teresak-esak. Anak tengahnya terkelip-kelip tidak memahami apa-apa.


“Mengapa Mah?”
Nafas Atan tersekat-sekat. Paru-parunya tiba-tiba menyempit. Dia terus cuba menghela nafas sebanyak mungkin. Cuba mengawal perasaan marahnya sekuat hati. Cuba memujuk hati isterinya yang mungkin sedang rajuk.
“Mengapa Mah sampai hati tinggalkan abang dan anak-anak?” Suara Atan terketar-ketar.
“Sebab Mah dah bosan hidup begini...”
“Mah mahu hidup macam orang lain. Mah tak mahu hidup sebegini selama-lamanya bang!”
Atan hanya menundukkan kepalanya ke lantai.  Kecewa dan marah terus berbaur. Kata-kata isterinya melontar ingatannya  jauh ke belakang, ke beberapa tahun yang lalu.
“Abang  diberhenti kan kerja Mah.” Katanya di suatu petang sambil duduk di pangkin tepi rumah mereka.
“Kenapa?”
“Sebab abang selalu sangat cuti sakit . Asma abang makin teruk. Makin kerap datang. Kadangkala abng sakit di kilang. Jadi mereka nasihatkan abang berhenti sahaja supaya tidak menganggu kerja-kerja di kilang tu.” Isterinya hanya mendiamkan diri. Dia tahu benar keadaan kilang papan tempat suaminya berkerja. Penuh habuk kayu berterbangan di udara setiap masa.
“Tak apalah bang, biar Mah yang kerja pula ya. Esah yang tinggal di rumah hujung tu kata,kilang dia nak pakai pekerja, dia ada ajak Mah kerja dengan dia. Boleh bang?” Mata isterinya bercahaya, memancarkan harapan yang sangat tinggi.

Atan mengangguk perlahan. Tersenyum. Kagum dengan kesanggupan isterinya menggalas tanggungjawab mencari rezeki di waktu dia sakit begini. Atan berjanji pada dirinya, nanti bila dia sihat semula dia akan kembali berkerja dan isterinya boleh tinggal di rumah semula. Mengasuh anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah. Biar hidup miskin asal beriman. Jangan hidup kaya namun alpa.
Namun harapan itu tinggal harapan. Asmanya terus tidak pulih walaupun pelbagai ubat sudah ditelannya. Mahu tidak mahu, Atan hanya mampu melakukan kerja-kerja ringan dengan mengambil upah menyapu dan membersihkan bangunan di sekitar tempat itu. Pendapatannya walau tidak sebanyak mana cukuplah untuk membeli beras dan lain-lain keperluan dapur.

Namun isterinya tidak menoleh lagi. Dia terus berkerja dengan tekun setiap hari sehingga dinaikkan pangkat. Wang gaji isterinya digunakan untuk membeli pakaian dan keperluan lainnya. Selebih itu isterinya memohon izin untuk disimpan ke dalam bank. Atan hanya tersenyum. Dia tidak berhak ke atas wang itu, terserahlah kepada isterinya.
“Abah…Jaja lapar…” rengek anak tengahnya.
Lamunan  Atan terhenti. Tangan kecil anaknya mula menggosok-gosok perut. Atan menoleh ke arah dapur.  Dia bangun lantas menuju ke ruang itu. Tangannya menceduk sedikit nasi dan meletakkan ke atas sebiji pinggan. Seketul ikan masin yang digoreng pagi tadi diletakkan bersama. Segelas air masak ditatang dengan tangan kiri. Diletakkan di hadapan Jaja. Jaja pantas menyuapkan nasi ke mulutnya.Atan kembali duduk di tepi dinding. Matanya merenung kosong.

Mah masih tercegat di hadapan pintu rumah. Anak bongsu mereka masih leka bermain dengan anak patung beruang. Sesekali mulutnya menghisap tangan anak patung itu, sesekali menggoncangnya. Bibirnya tersenyum riang.

“Mah nak pergi bang…” Langkahnya dihayun melangkahi pintu rumah. Sejenak dia berpaling kearah anak-anaknya. Dia tidak mahu memandang lebih lama. Bimbang hatinya akan kalah.
“Jangan pergi Mah! Kesian anak-anak kita…” rayu Atan.

Dia bingkas berdiri mengejar langkah isterinya. Tangannya cuba mencapai tubuh anak bongsu di dalam dukungan isterinya, namun ditepis kasar. Tubuh isterinya bergerak menjauh. Mata mereka beradu. Mata Atan mula berkaca. Hatinya sebak melihat perlakuan isterinya. Anak sulungnya juga menerpa ke muka pintu. Tangannya cuba mencapai tangan adiknya. Airmatanya tidak berhenti bercucuran.

Suasana bertukar menjadi riuh rendah. Anak- anak Atan  mula menangis. Anak yang tengah turut menangis walau masih tidak mengerti. Anak yang di dalam dukungan Mah juga menangis, terkejut melihat kakaknya merayu-rayu ibunya. Keadaan yang kecoh itu mula menarik perhatian jiran tetangga bersebelahan. Beberapa orang datang menjenguk di hadapan rumah. Hanya memandang penuh hairan, tidak berani masuk campur. Mah masih tidak berganjak. Hatinya sudah nekad.

“Halimah, abang ceraikan Mah dengan talak satu. Pergilah.” Atan berkata cukup jelas. Dia berdiri dengan tenang. Wajah Mah ditatap tidak berkedip.

Anak sulungnya melopong. Isterinya tersentak. Jiran tetangga turut terkedu. Tiada siapa yang menduga akan menjadi saksi robohnya sebuah perkahwinan.  Mereka lantas berbisik sesama mereka. Mah  menyarung seliparnya dan berpusing ke belakang. Tangan kirinya mencapai beg baju yang telah siap sedia di luar pintu.
Dalam gelap malam, dia melangkah laju. Mengikuti denai kecil di tepi perumahan setinggan itu, menuju ke sebuah perhentian bas di tepi jalanraya. Sebuah kereta sudah lama menanti. Melihat kehadiran Mah, seorang lelaki pantas keluar lalu mengambil beg ditangannya. Mah masuk ke dalam perut kereta, sebelum pintu ditutup… tangan mah menarik anak patung beruang dari genggaman tangan anaknya lalu mencampakkannya keluar. Anak patung itu jatuh di tepi pondok perhentian bas. Kereta itu meluncur lalju memasuki jalanraya dan terus hilang di dalam arus kenderaan yang bertali arus.

Atan duduk menyandarkan tubuhnya di tepi pintu. Tubuhnya menggigil. Bibirnya bergetaran. Tiang-tiang Arasyi turut sama bergoyangan  namun dia pasrah ketentuan Illahi. Dia yakin keputusannya betul, Mah akan bahagia dengan pilihan hidupnya  dan dia beserta anak-anaknya akan terus bahagia dengan dunia mereka sendiri. Tiada gunanya memaksa, tiada kebahagiaan akan wujud dengan cara begitu. Tanpa keikhlasan tidak akan wujud kemanisan berumahtangga.

Atan bangun. Menutup pintu. Melangkah ke belakang. Berwuduk. Di dalam sujud dia memohon keampunan jika hatinya rapuh dihasut syaitan. Di atas sejadah lusuh , segala sendu dilagukan bersama wirid dan zikir. Memohon agar esok, bahagia tetap tetap singgah di pondok buruknya itu. Memohon ketenangan hati mengiringi usianya. Demi anak-anak, dia mesti bangkit semula. Mesti !
Dalam gelap malam itu…Mr. Teddy terbaring di bawah kerusi batu di pondok perhentian bas. Menanti siang tiba…menanti Hana.

Aroma roti boom menyambut langkah Hana yang baru balik dari kolej. Badrul masih sibuk menguli dan mencanai adunan roti tidak henti-henti.  Bahagian itu paling sibuk di antara semua bahagian di restoran. Bunyi ‘kelentang kelentung’ di bahagian itu menjadi irama yang membangkitkan selera pelanggan. Pelanggan sudah ramai yang menunggu pesanan ‘roti banjir’ dan roti boom masing-masing. Badrul dan Abang Mat bertungkus lumus memenuhi pesanan dengan secepat mungkin.

“Roti banjir. Siap!” Suara Abang Mat menambahkan hingar bingar di situ. Seorang pelayan dengan pantas mengangkat 3 pinggan roti banjir untuk pelanggan.
Hana terus menuju ke bilik belakang, dia menunaikan solat Asar yang sudah masuk waktu.  Badrul memerhati kan Hana dengan ekor matanya sahaja. Wajah Hana nampak tenang namun tidak tersenyum dan keletah seperti selalunya.

“Hana dah solat?” ibu Hana menegur sebaik melihat kelibat Hana. Hana mengangguk.
“Petang ni Hana nak ke rumah kawan kan? Ajak Badrul teman ya.”
“Tak payahlah mak. Hana boleh pergi seorang lah. Bukannya jauh pun. Dekat Taman Hartini belakang Tesco.”
“Iya lah tetapi lebih baik bawa kawan, lebih selamat.”

Hana tidak membantah lagi. Bimbang kata-katanya akan menambah ketegangan antara mereka berdua. Dia akur sahaja lagi pun bukan ibunya meminta sesuatu yang sukar namun membawa Badrul bertemu kawan-kawan..erm, pasti menimbulkan gosip-gosip di kolej! Hana belum bersedia digosipkan dengan  sesiapa, apalagi dengan Badrul. Dia dengan Badrul boleh dibaratkan seperti sebiji guli dengan sebiji bola! Tak padan…tak padan… Hana tersengih sendiri.

Puan Khalidah memerhati sikap Hana yang termenung di meja sebelah  kiri kaunter. Pergeseran malam tadii masih tergiang-ngiang di telinganya. Jika Hashim datang lagi malam nanti, pasti Hana akan kembali merajuk. Dia tidak mungkin dapat menegah Hashim datang ke situ.  Puan Khalidah bingung sedangkan dia dan Hashim selama ini belum pernah berbicara  soal hati, ini seperti  mereka berdua yang beriya-iya sedangkan Hashim tidak menyedarinya. Dia serba salah.

Hana bangun dan melangkah  ke bahagian roti canai di hadapan restoran. Jam di dinding restoran menunjukkan sudah hampir 5.30 petang. Abang Mat sudah mengambil alih tugas Badrul dan dia dibantu oleh seorang lagi pekerja.
“Badrul, nanti lepas habis kerja boleh temankan Hana tak?” Badrul menoleh.
“Hari ni Hana nak cari di mana?”
“Rumah kawan di Taman Hartini.” Badrul mengangguk setuju. Peluh masih memercik di dahinya. Disapu dengan sehelai tuala kecil.
“Ok, tunggu saya solat Asar dulu ya, lepas tu kita pergi”. Hana hanya memerhati langkah Bad menuju ke bilik solat. Abang Mat tersenyum-senyum. Matanya yang sepet bertambah sepet. Cuma senyumnya tetap manis.
“Dating lagi petang ni Hana?” Hana mencebik.
“Apalah abang Mat ni…mak yang suruh Hana ajak Badrul tau. Bukan dating lah, nak pergi rumah kawan.” Hana menjelaskan. Abang Mat masih tersengih. Tangannya tidak berhenti-henti menguli adunan roti canai.

Sudah 5 tahun  dia setia bekerja di situ. Dia melihat Hana membesar di hadapan matanya setiap hari. Dia sudah menganggap Hana seperti adiknya juga. Puan Khalidah sangat baik dan bertimbang rasa dengan pekerja, membuatkan dia selesa bekerja . Peluh di dahinya dilap dengan tuala biru dari poket apron. Setelah Badrul siap bersolat, mereka berdua meninggalkan restoran. Puan Khalidah menghantar mereka dengan pandangan yang tenang. Lega sedikit melihat Hana tidak pergi ke mana-mana berseorangan. Badrul pun kelihatan seperti budak yang baik-baik.

Kereta Hana bergerak laju di atas jalanraya. Jalanraya menuju ke Tesco  tidaklah sesesak waktu pagi. Cahaya matahari sudah mula condong. Hana memerhati jam di tangannya, sudah hampir pukul 6 petang. Hana memasang siaran radio , celoteh juruhebah di Radio Sinar menghilangkan kesunyian ruang itu.
“Mengapa Hana muram je ni?” Badrul tiba-tiba bersuara.
“Muram? Mana ada lah. Hana biasa je.”
“Penat di kolej ya? Banyak assignment?”
“Biasa je.” Hana menjawab ringkas. Di fikirannya pelbagai perkara yang difikirkan. Namun dia tidak bersedia untuk berkongsi dengan Badrul. Assignment? Apa dia tahu pasal assignment selain menguli roti canai…

Badrul melayani fikirannya. Jawapan Hana tadi menunjukkan sikap Hana yang agak perahsia. Badrul sedar, dia baru mengenali Hana. Mungkin Hana kurang selesa untuk berkongsi masalah dengannya tetapi sejak Hana tiba ke restoran petang tadi, Badrul perasan mata Hana yang bengkak seperti  lepas menangis. Mengapa pula Hana menangis di kolej? Tentu sesuatu telah berlaku… Badrul cuma ingin tahu, Mungkin ada apa-apa yang boleh dia bantu. Keduanya terus membisu.

Badrul cuba menumpukan perhatian kepada jalan-jalan yang dilalui mereka. Dia bukannya arif sangat dengan jalan-jalan di Melaka . Taman Hartini pun dia tidak tahu di mana. Setelah membelok ke kiri kanan beberapa kali ,mereka memasuki sebuah lorong di dalam sebuah taman perumahan. Mungkin itulah Taman Hartini yang ingin dikunjungi Hana.

Hana memberhentikan keretanya di hadapan sebuah rumah teres 1 tingkat. Rumah itu kelihatan sunyi dari luar. Lorong itu majoriti penduduknya ialah dari kaum Cina dan India. Anjing di rumah sebelah kanannya menyalak-nyalak melihat kehadiran Hana dan Badrul di hadapan pagar. Hana menjenguk-jenguk, rumah itu kelihatan seperti tidak berpenghuni. Hana memeriksa pagar. Tidak berkunci!

Hana menolak pagar ke kiri perlahan-lahan, melangkah laju ke pintu. Badrul turut masuk ke ruang letak kereta rumah itu. Sempat dia bertukar senyum dengan anak jiran di sebelah rumah yang keluar menjenguk anjingnya yang menyalak-nyalak tanpa henti.

“Assalamualaikum Wati!” Hana memberi salam dengan kuat.
Tangannya mengetuk pintu kayu di sebalik jeriji besi. Kelihatan cahaya samar-samar dari bawah pintu. Hana yakin ada orang di dalam rumah. Jarinya terus mengetuk tidak berhenti-henti. Badrul hanya memerhati gelagat Hana dari belakang. Anjing di rumah sebelah sudah mula berhenti menyalak. Badrul menarik nafas lega. Rimas dengan bunyi  salakan yang begitu nyaring.
“Krekkkkk” Pintu itu akhirnya dibuka sedikit.
“Oh! Hana…er..ada apa?”
“Tidur ke? Puas aku ketuk, dah merah-merah jari aku tahu tak?” Hana menjawab sambil ketawa. Wati memandang Hana dan Badrul silih berganti. Wajahnya keresahan. Matanya yang bulat terkelip-kelip.
“Aku tidur tadi…er..ada apa kau datang sini Hana?” Wati menanyakan soalan yang sama.

Tangannya membetul-betulkan rambutnya yang separas bahu dan bajunya  yang berserabut. Badrul sedikit segan memandang ke arah Wati yang kelihatan tidak terurus. Baju blaus yang dipakainya tidak dibutang habis, mungkin Wati tidak perasan. Badrul berpusing ke arah jalan, berpura-pura melihat sekumpulan kanak-kanak bermain basikal.

“Aku datang nak cari Mr Teddy aku, ada tak kau jumpa? Emak kau ke?”
“Mr.Teddy? Anak patung kau? Tak adalah. Mak aku balik kampung pagi tadi.”
“ Kan aku datang sini  semalam…kita buat assignment sama-sama, mana tahu tercicir dari beg aku tu. Aku call, engkau tak jawab. Hari ni kau tak datang kolej. Kau demam ke?”
“Aku kata tak ada, tak ada lah!” Suara Wati meninggi. Hana tersentak. Matanya terkelip-kelip memandang wajah Wati . Selama ini Wati tidak pernah bersikap begitu . Hana bingung, mengapa Wati tiba-tiba dingin terhadap dia. Dia terasa malu dengan Badrul. Dia melangkah ke belakang ke arah keretanya.
“Wati…cepatlah” Tiba-tiba langkah Hana terhenti. Telinganya menangkap satu suara lelaki dari dalam rumah. Hana memandang tepat ke arah Wati. Wati kelihatan serba salah.
“Kau balik dulu ya, kalau aku jumpa…aku pulangkan di restoran kau ya”
“Wati ! Aku macam kenal suara tu wati….” Sekilas itu Wati cuba menutup pintu.
“Wati!” Tangan hana menahan pintu itu sekuat hati.

Tenaganya dikerah sedaya upaya , akhirnya pintu itu terkuak lebih besar dan Hana meluru masuk.  Wati menerpa ke arah Hana. Wajahnya sungguh cemas namun langkah Hana tidak sempat dihalang. Badrul tiada pilihan lain melainkan turut sama masuk. Jantung Badrul berdebar-debar menyaksikan gelagat mereka berdua. Bimbangkan keselamatan Hana walaupun dia tidak memahami apa yang sedang berlaku.

Hana meluru ke ruang tamu.  Di ruang itu terletak sebuah televisyen.  Suasana yang hampir senja membuatkan ruang yang tidak berlampu itu kelihatan malap. Seorang lelaki yang tidak berbaju berbaring di atas lantai beralaskan tilam nipis. Ruang itu kelihatan bersepah ,dengan baju dan bekas makanan. Lelaki itu bingkas bangun bila menyedari kehadiran Hana dan Bad. Tangannya teraba-raba mencari baju . Mukanya cemas dan merenung Wati yang kelihatan pucat di belakang Hana.

“Amri!” Mata Amri dan Hana bertemu. Keduanya terpaku.
“Wati…kau pun tahu siapa Amri kan ?” tanya Hana kepada wati. Wati mengangguk sambil menundukkan mukanya.
“Wati…” Hana tidak mampu bersuara lagi.
Dia merasa terlalu marah dengan perlakuan Wati dan Amri. Dia tidak menyangka Wati, kawannya sejak kecil sanggup menjalinkan hubungan dengan Amri, teman lelaki Sara. Suasana di ruang itu sunyi sepi. Masing-masing terdiam. Badrul masih tidak tahu duduk perkara.
“Badrul , jom balik.” Hana menarik tangan Bad.
“Hana! Tolong jangan beritahu Sara…” Amri akhirnya bersuara. Wajahnya penuh mengharap. Namun tiada kekesalan. Hana semakin geram.
“Wati, apa yang kau buat ni salah.” Itu sahaja yang keluar dari mulut Hana. Matanya merenung tepat ke mata Wati. Mata Wati bergenang.

Hana  tidak sanggup lagi untuk terus berada di rumah itu. Apa yang telah disaksikan amat berat untuk diterima. Langkahnya laju mencari pintu keluar. Wati dan Amri masih bungkam di ruang itu. Hana sudah tidak peduli hal mereka berdua.

Sudah beberapa minit Hana dan Badrul berada di dalam kereta. Hana masih membisu. Badrul tidak tahu bagaimana untuk membantu. Kepalanya ligat berfikir dan berfikir. Siapa Amri? Teman lelaki Hana ke?
 “Apa masalahnya tadi Hana? Siapa Amri tu?” Badrul sudah tidak berdaya menahan diri dari bertanya. Walaupun ada sedikit rasa cuak di hatinya. Bimbang juga jika Amri tu teman lelaki Hana. Masalah pasti lebih besar.

“Erm…”
“Kalau Hana tak mahu cerita, tak apa.” Kata Badrul untuk menenangkan Hana.
“Amri tu teman lelaki Sara, kawan baik Hana di kolej. Sudah 2 tahun mereka berkawan.”
“Hah? Habis kenapa dia ada di rumah Wati pula?”
“Kenapa tanya Hana? Tanyalah pada Amri tu.” Badrul terdiam.
Hmm…angin betul budak ni. Silap tanya je, terus melenting! Tetapi Badrul merasa sedikit lega, sebab  Amri tadi bukan teman lelaki Hana. Jika tidak pasti Perang Dunia ke 3 akan meletus.
“Bad, boleh tak Hana tanya sesuatu? Patutkah Hana beritahu Sara perkara ini?”
“Kalau Hana beritahu, kemungkinan Sara tak percaya. Hana ada bukti?” Jawab Badrul cepat.
“Kalau Hana tak beritahu, Sara akan terus tertipu. Hana sendiri akan rasa susah hati jadi saya rasa, Hana patut beritahu Sara. Sebagai kawan baik tentu Sara boleh faham niat baik Hana kan.”

“Kalau Sara tak percaya dan marah Hana?”
“Kita tidak boleh mengawal kelakuan orang lain Hana, terpulanglah pada dia samada hendak percaya kan Amri atau Hana. Yang penting Hana sudah menjalankan tanggungjawab sebagai kawan.” Hana tidak menjawab. Matanya merenung kereta di hadapannya. Dia sayangkan Sara namun bimbangkan Sara tersalah sangka niat baiknya, kerana dia tahu Sara sangat menyayangi Amri.
“Kalau Hana sembunyikan perkara ini, Hana dikira bersubahat dengan Amri menipu Sara. Betul tak?” Hana masih membisu.

“Katakan jika Sara tahu di kemudian hari…tentu dia kecewa dengan sikap Hana.”
Hana mengangguk. Apa yang dikatakan Badrul sebentar tadi  mula masuk ke kepalanya. Dia nekad, esok pagi di kolej dia akan memberitahu Sara soal Amri dan Wati. Apabila terbayang wajah dan senyuman Sara, Hana merasa sayu, bagaimanakah penerimaan Sara kelak. Tak sanggup rasanya menyampaikan sesuatu yang boleh membuatkan dia menangis. Hana mula serba salah semula. Badrul membiarkan sahaja Hana melayani fikirannya. Kesian Hana lepas satu masalah, masalah lain pula timbul…yang dicari tidak jumpa, yang tidak dicari pula menjelma. Badrul mengeluh panjang.

Pagi itu Hana merasa  tidak sihat. Sekejap badannya panas sekejap badannya sejuk. Sekejap jantungnya berdegup laju, sekejap perlahan. Sudah lah malam tadi tidurnya tidak lena. Pagi ni bila terjaga terasa kepalanya berat dari biasa, namun Hana gagahkan juga kakinya ke kolej.  Sesekali matanya mencari-cari kelibat Sara namun seperti biasa, Sara pasti tiba lewat. Jari-jemari  Hana sudah terasa sejuk. Baju sejuk yang dipakainya tadi seperti tidak mampu membuang kedinginan di sekitarnya.

Hana meneguk perlahan-lahan air teh panas di hadapannya. Mengharapkan agar haba dari teh itu dapat merayapi segala urat darahnya dan membiaskan sedikit kepanasan. Setelah menanti hampir 30 minit di café itu, baru Sara muncul sambil tersenyum. Melihat wajahnya yang cerah, Hana terasa semakin serba salah. Terasa bersalah jika menukarkan senyuman itu dengan tangisan. Itukah kawan?

“Macamana semalam? Jumpa Mr Teddy di rumah Wati?” Hana menggeleng. Mendengar nama Wati sudah cukup membuatkan  Hana sesak nafas. Jantungnya makin laju.
“Kalau tak ada, mesti tercicir di kedai yang engkau singgah hari tu .” Hana mengiyakan sahaja kata-kata Sara yang mula berceloteh riang. Rambut Sara yang dipotong pendek itu membuatkan wajahnya bertambah comel. Namun kecomelannya tidak sedikit pun menenangkan hati Hana.
“Sara aku….”
“Aku..er..aku…”

“Sejak bila engkau jadi gagap ni?” Sara menepuk peha Hana dengan kuat. Hana terkejut. Sara ketawa .
“Macamana petang semalam, seronok jumpa Amri?” terpacul soalan yang jauh dari fikiran Hana.
“Amri? Aku geram sungguh lah pada dia. Engkau tahu tak, dia datang jemput aku lepas tu terus hantar akau balik rumah, dia kata ada hal penting nak jumpa clent.” Sara menerangkan segalanya dengan suara yang geram. Hana sekadar mengangguk. Jumpa client ya…terbayang di matanya drama Amri dan Wati semalam. Hatinya mula sakit bila menyedari Sara ditipu mentah-mentah.

“Apa yang engkau menungkan ni?” tanya Sara melihat Hana termenung jauh.
“Tak ada apa…aku…” Kata-kata Hana terhenti apabila bertentang mata dengan Wati. Wati menggelengkan kepala ke arah Hana. Hana tersentak. Wati yang berbaju kurung biru menghampiri mereka berdua. Matanya yang bulat masih merenung tajam ke arah Hana. Hana menelan air liur, itu pun seperti tersekat di kerongkong.
“Hey Wati, assignment kau dah siap?” Sara bertanya pada Wati sebaik menyedari kehadiran Wati berdekatan mereka. Wati mengangguk. Melemparkan semyuman manis buat Sara. Mereka berbual riang, sesekali mata Wati mengerling  Hana yang muram.

“Jom masuk kelas.” Ajak Wati . Sara dan Wati berjalan beriringan menuju ke kelas mereka. Hana hanya mengekori dari belakang. Dia terasa seperti hendak pitam. Degup jantungnya tidak sekata. Di dewan kuliah mereka duduk bersebelahan. Hana, Sara dan Wati. Hana masih bungkam, masih belum mampu menegur Wati. Hanya Sara yang petah bercerita dengan Wati. Hana terus membisu.
Hari ini tidak banyak kelas yang perlu diikuti oleh Hana. Pukul 2 petang kelas terakhir tamat. Masing-masing meninggalkan dewan kuliah di tingkat bawah. Apabila melihat kelibat Wati yang sudah hilang di sebalik pintu. Hana mula bersuara.

“Sara lepas ni aku hantar kau balik ya. Ada hal lah aku nak cakap dengan kau.Boleh ya?”
“Hal apa?” Sara mula pelik dengan kelakuan Hana.
“Adalah.Tetapi aku kena balik ke restoran sekejap ambil Badrul.”
“Badrul? Siapa Badrul ? Sejak bila kau ada pakwe ni?”
“Bukan pakwe lah, bodyguard.”
“Ooooo,” jawab Sara sambil ketawa. Mereka berdua yang akhir sekali meninggalkan dewan kuliah. Sara terus berceloteh riang. Hana semakin resah.

Sesampainya mereka ke restoran, kelibat Badrul tidak kelihatan di bahagian roti canai. Puas Hana menjenguk-jenguk namun memang Badrul tiada di situ. Hana mula kehairanan. Mahu tidak mahu Hana terpaksa turun mencari Badrul di dalam restoran.

“Sara, engkau tunggu sekejap ya. Aku nak panggil Badrul.” Sara mengangguk. Tangannya memasukkan CD Britneys Spears ke dalam pemain CD. Dia tenggelam dalam irama rancak dendangan penyanyi itu. Hana melangkah laju ke dalam restoran.
“Abang Mat, mana Bad?”
“Dia solat Zuhur sekejap. Mengapa?”
“Hana ada hal nak minta tolong dia lah.” Abang Mata mengangguk. Hana melangkah ke dalam restoran berjumpa ibunya. Dia memohon kebenaran ibunya untuk membawa Badrul keluar sebentar. Ibunya mengizinkan dengan syarat tidak terlalu lama. Nanti mereka kekurangan pekerja di bahagian roti canai.
Sebaik Badrul keluar dari bahagian dapur. Hana menerpa. Hana berbisik dengan Badrul dan Badrul bersetuju. Setelah mendapat keizinan dari Puan Khalidah, mereka berdua tergesa-gesa ke kereta. Sara hanya tersenyum melihat kehadiran Badrul.  Pakwe Hana…sihat betul! Sara tersenyum-senyum. Hana buat tidak tahu.Dia tidak mampu tersenyum lagi.

Dari kedai, Hana menuju ke sebuah taman permainan di tepi stadium Tun Fatimah. Keretanya di letakkan di bawah sepohon pokok besar. Suasana di situ redup dan nyaman. Angin bertiup dengan kuat, bahang panas segera beralih. Masih belum ramai kanak-kanak yang bermain di situ kerana jam baru menunjukkan pukul 4 petang. Hana mematikan pemain cakera padatnya. Duduk mengadap Sara yang tercengang-cengang. Badrul yang duduk di belakang Sara hanya menanti Hana membuka mulut.
“Sara, aku nak cakap sikit…” Sara memandang Hana dengan penuh tandatanya.
“Maafkan aku sebab apa yang akan aku beritahu ini mungkin akan buat engkau sedih.”
“Apa dia, cakaplah cepat.” Sara semakin tidak sabar.
“Pasal Amri.”
“Amri? Eh! Kenapa pula dengan dia?” Sara terkejut. Selalunya Hana tidak pernah bercerita pasal teman lelakinya itu.
“Semalam aku pergi ke rumah Wati. Amri ada di sana.” Sara terlopong. Tergamam.
“Amri ada di rumah Wati? Mustahil lah. Amri tak kenal Wati.”
“Betul, aku sendiri yang bercakap dengan Amri.”
“Engkau jangan nak buat cerita macam ni, Amri tak kenal Wati.” Sara masih cuba menafikan. Dia tidak dapat menerima kenyataan yang cuba disampaikan oleh Hana.
“Kenal..mereka berdua…” Hana mula tergagap-gagap.Serba-salah.
“Mereka berdua apa? Apa?” Sara meningkah dengan suara yang tinggi. Mukanya yang putih cerah sudah mula kemerahan menahan marah.
“Mereka berdua ada hubungan. Aku dan Bad yang nampak mereka di rumah Wati semalam.”
“Hana, aku tak sangka engkau boleh buat cerita macam ni ya…”
“Ini bukan cerita Sara. Bad sendiri boleh jadi saksi."
“Sudahlah!  Kau orang berdua sama je, mengapa nak dengki pada aku ?” Sara menundukkan mukanya menahan tangis.
“Ya Tuhan, aku tak dengki pada engkau,Sara. Aku cuma mahu menyampaikan hal yang sebenar.”
“Dah, aku tak mahu dengar. Amri tak pernah kenal Wati. Wati pun tak pernah cerita pasal Amri.” Hana cuba menerangkan tapi Sara cepat meningkah.
“Dah, aku nak balik!” kata Sara sambil membuka pintu kereta. Beg sandangnya disentap kuat.
“Biar aku hantar balik." Sara menggeleng.

Dia berjalan selaju mungkin menuju ke jalan raya. Hana nampak Sara menangis sambil berjalan. Hatinya turut hancur. Dia yang menyebabkan Sara bersedih. Hana menyandarkan tubuhnya ke kerusi pemandu. Nafasnya dihela dalam-dalam. Tiba-tiba airmatanya bercucuran keluar. Hana menangis tersengguk-sengguk. Sampai hati Sara tuduh dia begitu, padahal dia berniat baik. Sekarang dia kehilangan kawan baik pula. Apalah nak jadi dengan hidup aku? Lepas satu-satu pergi…

“Hana sabarlah ya. Beri Sara masa untuk mencari kebenaran.” Pujuk Badrul. Hatinya terusik bila mendengar esak tangis Hana. Kanak-kanak sudah mula memenuhi taman permainan itu. Begitu juga penjual makanan ringan dan aiskrim. Suasana sudah semakin meriah di situ, namun Hana masih bersedih.
“Mungkin dia terkejut dengan berita ini jadi tindakbalasnya begitu kan. Nanti bila dia sudah tahu hal yang sebenar, pasti dia kembali pada Hana, percayalah”. Badrul menatap mata Hana yang masih basah dengan airmata.

Teringin tangannya menyapu airmata itu tetapi silap-silap mungkin penampar yang dia dapat. Hana kan panas baran! Dibiarkan Hana menangis sepuas-puasnya sampai Hana reda. Akhirnya tangisan Hana berhenti juga, Hana menghela nafas dalam-dalam untuk mencari kekauatan. Airmatanya disapu dengan tuala kecil dari beg sandangnya. Hana cuba bertenang.

Badrul membuka pintu kereta dan menuju ke arah sebuah motorsikal yang menjual aiskrim. Dia membeli dua batang aiskrim kacang dan berjalan balik ke arah Hana. Dia masuk ke tempat duduk di hadapan lalu menghulurkan aiskrim kepada Hana. Hana mengambilnya perlahan-lahan sambil tersenyum tawar.
“Sudahlah, jangan menangis lagi. Nanti makin kecut.” Badrul cuba mengusik.
“Kecut apa?”
“Kecut macam buah kana…” jawab Badrul sambil tersengih. Cermin matanya dibetulkan semula. Hana tersentak. Dia memandang Badrul tidak berkerdip.
“Ya, macam buah kana. Hana memang macam buah kana...kecil-kecil, dalamnya keras tapi manis di luar.”
“Mengapa senyum?” Badrul kehairanan melihat Hana tersenyum melirik. Hana mencicipi ais krim itu perlahan-lahan.
“Teringat ayah Hana.” Jawab Hana perlahan. Wajahnya semakin tenang.
“Ayah Hana? Kenapa?”
“Ayah Hana panggil Hana buah kana juga…”
“Iya ke..buah kana? Ha ha…” Kata Badrul sambil ketawa.

Hana turut ketawa walau pun di tepi kelopak matanya masih tersisa air mata. Senyuman terukir kembali di wajah Hana. Badrul merasa sedikit lega, melihat Hana yang semakin tabah menghadapi dugaan di dalam hidupnya namun dia sendiri merasa kehilangan kewujudan dirinya di dalam dunia ini. Dia sedar dia tidak dihargai oleh sesiapa, dia hanyalah umpama udara yang dihela namun dilupakan kehadirannya. Badrul mengerling Hana , mungkinkah wajah itu terus tenang esok hari. Mungkinkah dia masih diperlukan lagi untuk menyalurkan ketenangan itu. Sampai bila?

3 comments: