Kisah bermula...
WALTZ CAFé tidak ramai pengunjung petang itu. Rata-rata hanya memesan sepotong kek dan secawan teh. Suasana di Kemang Square itu tenang dan redup. Pohon-pohon ketapang teguh berdiri walau sudah bertahun tumbuh di sepanjang jalan menuju ke Pantai Peranginan Teluk Kemang yang terkenal dengan keputihan pantai dan kejernihan airnya. Johanna sedang membersihkan meja di sebelah akuarium ketika disapa oleh Puan Marina, pengurus kedai kek berkonsep kafeteria itu. Dia segera menghentikan aktivitinya lalu melangkah perlahan menuju ke arah Puan Marina di kaunter.
“Ada apa puan?” soalan pertama yang keluar dari bibir Johanna.
“Saya akan ke KLIA esok untuk mengambil anak lelaki saya yang baru habis belajar di France. Jadi, saya nak awak tolong Rahayu uruskan kafe ni sementara saya tiada, boleh?” pinta Puan Marina.
“Anak sulung puan ke?” tanya Johanna.
“Iya, baru habis belajar dalam bidang masakan Perancis,” jawab Puan Marina.
“Baiklah puan,” jawab Johanna, pendek.
Puan Marina menghadiahkan senyum pada Johanna sebelum berlalu pergi. Johanna mencari kelibat Rahayu, ketua chef di situ. Rasanya dia tiada di dapur kerana sewaktu Johanna mengambil kain lap, kelibat Rahayu tiada di situ. Entah ke manalah perempuan itu pergi.
“Kau cari sapa?” tegur Noremi, kawannya yang turut bekerja di situ apabila melihat Johanna seperti tercari-cari sesuatu.
“Aku cari ketua chef, ada kau nampak dia?” tanya Johanna.
“Dia ada kat dalam toilet. Aku baru keluar dari sana. Kenapa nak jumpa dia?”
“Esok Puan Marina tak ada. Jadi, dia minta aku tolong perempuan tu uruskan kafe ni. So, aku tengah cari dia sebab nak tahu apa yang aku kena buat esok. Kalau tak, kau faham-faham sajalah, silap sikit, kau tahanlah telinga kau tu,” perli Johanna.
Noremi tergelak kecil. Dia faham akan kata-kata Johanna tadi. Ketua chef di sini memang tegas orangnya. Tegas tapi mulutnya macam bertih jagung bila ada pekerja yang buat kesilapan. Siaplah telinga mendengar bebelannya yang kadang-kala amat menusuk hati bagai anak panah laju dilepaskan dari busurnya.
“Ni apa gelak-gelak ni? Dah habis bersihkan meja tu?” tegur Rahayu menyebabkan Johanna dan Noremi sedikit tersentak.
“Be... belum Cik Ayu,” jawab Noremi, gelisah.
“Dah tu, tak reti-reti nak bergerak? Kau orang semua dibayar untuk buat kerja, bukan mengumpat 24 jam, faham!” herdik Rahayu.
‘Dia dah mula dah....’ ujar Johanna di dalam hati.
Noremi segera mengangkat kaki berlalu dari situ. Johanna memandang wajah ketuanya yang berpakaian serba putih dengan apron berwarna coklat itu. Tidak kelihatan pula topi tinggi yang selalu dipakainya saban hari.
“Puan Marina dah beritahu kau yang dia tak ada esok?” tanya Rahayu.
“Dah, dia minta saya tolong cik uruskan kafe esok,” Johanna menjawab.
“Bagus, esok, aku nak kau ikut aku ke pasar. Barang dapur banyak yang dah habis,” ujar Rahayu.
“Ta... tapi itu bukan kerja saya. Kan ke cik selalu pergi dengan Kamal?” Johanna agak terkejut dengan arahan Rahayu tadi.
“Kamal off esok! Ingat, esok tepat pukul tujuh kau mesti ada kat sini, faham!” arah Rahayu.
Johanna hanya mampu menganggukkan kepala sebagai tanda setuju walaupun dia tidak rela. Johanna tahu, Rahayu sengaja mengenakannya. Sejak dari dulu ketuanya itu seakan memusuhinya. Johanna tidak tahu mengapa bahkan dia tidak pernah mengerti. Rahayu berlalu meninggalkan Johanna keseorangan. Johanna hanya memerhatikan langkah ketuanya itu dengan hati yang panas!
HUSNA masih memegang kejap telefon bimbit di tangannya. Panggilan dari kekasih hati sebentar tadi membuatkan jiwanya bergelodak dengan pelbagai rasa. Gembira dan ria. Esok, kekasih hatinya akan kembali semula menemuinya setelah tiga tahun tidak bertemu. Bagaimana agaknya keadaan lelaki itu kini? Walau selalu berhubung, kerinduan itu tetap ada. Tidak sabar untuk menjemput lelaki itu esok. Interkom yang berbunyi di atas meja menganggu khayalnya.
“Ya, Siti. Ada apa?”
“Puan Marina di talian Cik Husna,” beritahu Siti, setiausaha Husna.
“Baiklah, sambungkan pada saya,” ujar Husna.
“Assalammualaikum, auntie,” sapa Husna lembut.
“Waalaikummussalam... Husna off handphone ke? Banyak kali auntie call tapi tak dapat,” ujar Puan Marina.
Husna pantas memandang sebuah lagi telefon bimbit berhampiran dengannya. Telefon bimbit di tangan adalah pemberian dari lelaki yang dicintai, khas buat dirinya manakala telefon di atas meja lebih kepada urusan perniagaan. Dilihat skrin telefon bimbit di atas meja itu gelap. Pasti sudah kehabisan bateri. Bagaimana dia tidak menyedarinya?
“Maaf auntie, tak sedar yang bateri dah habis,” balas Husna.
“Oh, patutlah tak dapat. Em, jadi ke Husna ikut auntie esok?”
“Jadi. Pukul berapa auntie nak ambil Mirul?” Husna bertanya pada Puan Marina.
“Mirul telefon auntie, katanya dia sampai sini petang. Lepas Zohor, bolehlah kita bertolak. Pukul dua, bolehlah Husna datang rumah auntie. Husna naik kereta dengan auntie saja...” cadang Puan Marina.
“Baiklah auntie, Husna ikut saja,” jawab Husna.
“Em, okey, auntie nak beli barang untuk makan malam esok. Jumpa nanti ya. Assalammualaikum,” ucap Puan Marina.
“Waalaikummussalam...” balas Husna.
Talian dimatikan. Husna membuang pandang ke jendela. Dadanya diterpa debar tiba-tiba. Dia akan berjumpa dengan teman lelakinya esok. Kurang 20 jam dari sekarang. Ah, betapa cemasnya dirasakan saat ini.
RUMAH teres satu tingkat di Taman Orkid itu dituju. Rumah yang bercat biru bernombor 75 itu mempunyai daya penariknya yang tersendiri. Halaman rumah itu dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga dan pokok-pokok renek yang malar hijau. Pasti mendamaikan sesiapa saja yang melihatnya. Johanna memakirkan skuter yang ditunggang di sebelah kereta kancil milik Noremi. Hanya dia dan Noremi yang tinggal menyewa di situ.
Kedudukannya yang strategik dan berhampiran dengan tempat kerja menyebabkan mereka memilih rumah di kawasan itu sebagai tempat tinggal. Tambahan pula mereka berdua sudah tidak punya sesiapa di dunia ini. Noremi anak yatim piatu sejak kecil. Johanna pula sudah kehilangan ayah tercinta semasa dia berada dalam tingkatan satu. Dia masih punya seorang ibu dan seorang adik namun sejak kematian ayahnya, ibu dan adiknya turut menghilang, meninggalkan Johanna bersama-sama neneknya yang sudah lanjut usia.
Selepas tamat SPM, Johanna telah berdepan dengan satu lagi kehilangan. Pemergian neneknya menghadap Ilahi merupakan satu tamparan yang hebat buat dirinya yang sebatang kara. Niat di hati untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi terpaksa dibatalkan kerana dia harus mencari duit untuk menampung hidupnya. Ibu dan adiknya sudah lama tidak muncul. Mereka bagaikan sudah lupa akan kewujudan dirinya. Johanna juga telah putus asa untuk mencari mereka. Sehingga kini, dia tidak memahami mengapa dirinya ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebab. Puas dia mencari puncanya namun tidak ketemu.
“Jauh mengelamun Hana...” tegur Noremi sekaligus menerbangkan khayalan Johanna tadi.
“Kenapa lambat?” Noremi bertanya apabila melihat tiada balasan dari kawan baiknya itu.
“Aku singgah pasaraya kejap. Beli coklat,” jawab Johanna.
Noremi sekadar mampu menggelengkan kepala. Faham benar dengan kerenah kawannya yang satu ini. Terlalu taksub dengan coklat. Yang pelik, badan kawannya itu tetap maintain slim.
Johanna menanggalkan helmet yang dipakai lalu diletakkan di atas rak kasut yang disediakan di situ. Dia melangkah ke taman mininya. Sekali lagi Noremi memandang kawannya itu sambil menggelengkan kepala. Ini satu lagi sifat yang ada pada Johanna. Rajin menanam. Pernah Noremi bersuara pada Johanna tentang tamannya. Dari menanam pokok bunga, lebih baik menanam cili atau terung. Dapat juga hasilnya. Dan jawapan Johanna...
“Kau ingat aku ni nak jadi peladang berjaya? Tak ada maknanya aku nak tanam cili, terung, kacang panjang dan entah apa-apa lagi tu. Baik aku tanam bunga yang berbau harum dan ada macam-macam warna. Tenang jiwa aku,”
Noremi terus mati akal dengan jawapan Johanna itu. Seketika dia melihat Johanna menyentuh pokok mawar yang mula berputik. Asyik benar gadis itu meneliti setiap bahagian yang ada pada pokok tersebut.
Noremi meninggalkan Johanna yang hanyut dalam dunianya sendiri. Remang senja mula kelihatan di kaki langit. Kicauan beburung meriuhkan suasana petang. Malam, akan melabuhkan tirainya sebentar lagi. Johanna masih tetap tidak berganjak dari tempatnya. Dia, tenang di situ...
Amirulshah & Husna
PAGI tiba jua menyebabkan malam terpaksa mengundur diri sementara. Johanna sudah berada di hadapan bangunan Waltz Cafe sejak dari pukul 6.45 pagi lagi. Dia melihat jam di tangan. Bayang-bayang Rahayu masih tidak kelihatan walaupun sudah hampir 35 minit dia terpacak di situ. Menunggu dalam kesejukan yang mencengkam. Suhu persekitaran agak rendah kerana hujan sejak malam semalam baru berhenti Subuh tadi.
‘Mana pula minah ni. Janji semalam pukul tujuh. Sekarang dah pukul tujuh dua puluh minit. Nak kata traffic jam, mustahil. Teluk Kemang ni bukannya KL,’ gumam Johanna di dalam hati.
Johanna membuang pandang ke jalan raya yang agak lengang dengan kenderaan. Cuma beberapa buah bas sekolah yang asyik berulang-alik mengambil penumpang. Sesekali dia memerhati kenderaan yang lalu-lalang, mana tahu kelibat Rahayu kelihatan. Beberapa minit kemudian, dia mengeluh hampa. Apakah Rahayu sudah lupa akan janjinya? Lantas, Johanna mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluar. Baru sahaja dia hendak mendail nombor telefon Rahayu, kedengaran bunyi hon tidak jauh darinya.
‘Hah, panjang umur kau!’ detik hati Johanna.
Kereta Proton Wira itu dipakir di hadapan Waltz Cafe, betul-betul di sebelah Johanna. Rahayu keluar dari perut kereta dengan wajah selamba. Dia membuka tempat simpanan barang di belakang kereta lalu mengeluarkan bakul berisi bahan-bahan untuk dimasak. Terkebil-kebil Johanna melihat telatah ketuanya itu.
“Awal kau sampai,” tegur Rahayu.
‘Awal? Ya, memang awal... sebab kaulah aku datang awal, tahu tak?’ hanya dalam hati Johanna menyuarakan kata-kata tadi.
“Cik Rahayu dah ke pasar?” soal Johanna.
“Buta mata kau? Tak nampak dalam bakul ni penuh dengan barang dapur?” sindir Rahayu.
Johanna meneguk liur. Agak tersentap dengan sindiran Rahayu tadi.
“Tapi, semalam Cik Rahayu dah janji nak bawa saya sama,” ujar Johanna.
“Eh, ada ke? Tak mungkinlah. Kau silap dengar agaknya,” Rahayu berdalih.
“Betul Cik Rahayu. Telinga saya tak pekak lagi. Cik yang minta saya ikut ke pasar pukul tujuh tadi,” tegas Johanna.
Rahayu menjengilkan matanya memandang Johanna. Dia memang tidak lupa akan janjinya pada gadis itu. Sengaja dia pura-pura tidak tahu. Biar padan muka gadis itu menunggunya dalam kedinginan pagi. Puas hatinya dapat mengenakan Johanna.
“Aku rasa kau patut buat pemeriksaan telinga. Seingat aku, tak ada pula aku ajak kau. Lagipun, pergi pasar tugas aku. Sejak bila pula kau ambil-alih. Dah... dah... pergi bawa barang ni semua masuk. Banyak lagi kerja nak buat,” balas Rahayu lalu menyerahkan bakul berisi barang-barang dapur itu pada Johanna dengan kasar.
Johanna tersentak. Dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu betapa membara api amarahnya pada perempuan di hadapannya ini. Rahayu segera membuka pintu kaca kafeteria itu lalu menuju ke kaunter. Johanna melangkah perlahan ke dapur dengan menjinjit bakul yang agak berat kandungannya sambil diperhati Rahayu dengan senyuman sinis!
“KEPUTUSAN mama muktamad?” tanya Amirulshah buat kali terakhir.
“Ya, mama nak kamu bekerja di Waltz Cafe. Timba pengalaman,” jawab Puan Marina.
“Tapi, kenapa pekerja bawahan? Kenapa tak bekerja di dapur? Mirul, kan dah bergelar chef sekarang?” Amirulshah membela dirinya.
Puan Marina diam mendengar kata-kata anaknya tadi. Kereta Proton Waja berwarna kelabu itu meluncur laju membelah lebuhraya Utara-Selatan. Panaroma yang disajikan hanyalah ladang kelapa sawit yang sudah tidak berbuah lagi. Pak Usop, pemandu Puan Marina tenang memandu. Tidak dihirau perbincangan dua beranak itu.
“Mama tahu. Tapi, pada pendapat mama, lebih baik kamu bekerja dari bawah. Kenal dulu pekerja-pekerja kita. Mama nak kamu bergaul mesra dengan mereka. Kenali mereka lebih rapat. Dengan itu, baru kamu dapat memahami mereka dan tahu apa yang mereka perlukan. Tanpa pekerja, urusan syarikat tak dapat berjalan dengan lancar, Mirul,” panjang lebar bicara Puan Marina.
Amirulshah menghela nafas panjang. Dia memandang Husna menerusi cermin pandang belakang. Sejak berjumpa di lapangan terbang tadi, gadis itu tidak banyak berkata-kata. Hanya senyuman yang menghiasi bibir merah gadis itu. Amirulshah kembali memikirkan kata-kata mamanya tadi. Ada kebenaran dalam kata-kata mamanya itu. Tidak salah dia bermula dari bawah. Bukankah mamanya juga dahulu bekerja sebagai pelayan kedai makan sebelum menjawat jawatannya sekarang ini?
“Jadi, kamu setuju?”
Amirulshah menganggukkan kepala sebagai jawapan kepada pertanyaan mamanya tadi. Puan Marina tersenyum lega.
“Bagus, dan ada satu lagi mama nak kamu buat,” pinta Puan Marina.
“Apa dia ma?”
JOHANNA menatang dulang yang berisi sepotong kek black forest dan segelas jus oren menuju ke meja bernombor sembilan. Berhati-hati dia meletakkan piring berisi kek dan gelas itu di atas meja.
“Please enjoy your meal sir,” ucap Johanna, ramah.
Lelaki bercermin mata dan memakai kemeja lengkap berkot itu membalas senyuman Johanna sambil menganggukkan sedikit kepalanya. Kemudian, Johanna berlalu ke dapur untuk mengambil menu yang telah ditempah. Namun, hasratnya terhalang apabila Rahayu memanggilnya.
“Ada apa Cik Rahayu?”
“Aku nak kau belikan telur sedozen sebab telur dah nak habis,” ujar Rahayu.
“Hah? Kamal kan ada?” Johanna agak terkejut dengan arahan Rahayu kerana membeli barang-barang dapur bukanlah tanggungjawabnya.
“Kau tak nampak dia sibuk tu? Kau kan tengah tak ada kerja,” balas Rahayu.
“Tapi saya ada banyak lagi pesanan yang perlu dihantar,” dalih Johanna.
“Noremi ada. Aku boleh suruh dia. Dah, dah! Pergi cepat. Nanti tak jadi pula kek aku ni,” arah Rahayu.
Dengan langkah malas, Johanna berlalu dari dapur. Dia meminta duit dari Ili yang bertugas di kaunter. Takkan dia nak guna duit sendiri. Si Rahayu ni pun satu, pagi tadi pergi pasar bukan nak beli telur banyak-banyak. Saja nak menyusahkan aku. Mentang-mentang Puan Marina tak ada, tunjuk belang kau ya...
“MACAM mana hidup kebelakangan ni?” Amirulshah bertanya pada Husna ketika mereka duduk di taman di Villa Harmoni itu.
Mereka baru selesai menikmati minum petang. Husna mengalihkan pandangan pada wajah yang duduk di sebelahnya. Hampir tiga tahun wajah itu tidak ditatap sedekat ini. Rindu di hati terlerai sudah. Amirulshah banyak berubah. Dia nampak lebih matang dengan sedikit kumis di atas bibirnya. Rambut lelaki itu sudah dipotong pendek berbanding dahulu. Mengapa agaknya dia memotong rambut panjang yang dibelanya? Pasti angin dari luar negara telah mengubah penampilan diri lelaki ini.
“Ada apa kat muka Mirul ni?” tegur Amirulshah.
Husna agak tersentak dengan sapaan Amirulshah. Segera dia menundukkan wajah, menutup rasa malu.
“Hus okey ke? Dari tadi senyap je...”
“Hus okey. Cuma, masih tak biasa dengan Mirul... dah lama tak jumpa, rasa kekok pula,” jawab Husna.
“Atau, terkejut tengok Mirul bertambah kacak?” Amirulshah mengusik.
Husna tergelak kecil. Mujurlah sikap lelaki ini tidak berubah. Dia masih Amirulshah yang suka bergurau dan penyayang. Husna juga berharap, kasih sayang lelaki itu juga tidak berubah terhadapnya.
SAMPAI di pasaraya yang berhampiran, Johanna segera menuju ke bahagian barang keperluan dapur. Dia mencapai sedozen telur yang memang telah siap-sedia dibungkus. Lalu, dia berjalan pantas menuju ke kaunter sehingga dia terlanggar seseorang yang muncul dari celah-celah rak yang ada di situ. Mujur telur yang dipegangnya tidak terlepas. Segera dia meminta maaf dan kembali mengatur langkah ke kaunter.
Selepas membuat pembayaran, dia berlalu keluar dan mencari kelibat skuternya. Pantas, Johanna menuju ke skuternya. Namun seketika langkahnya terhenti apabila melihat kelibat seseorang dari jauh yang sedang masuk ke dalam kereta.
“Ah, tak mungkinlah. Dia masih di UK. Takkan dia dah pulang,” ucap Johanna sambil menggelengkan kepalanya.
Enjin skuter dihidupkan dan dia mula memandu dengan berhati-hati.
Pertemuan
AMIRULSHAH mengambil peluang untuk bersiar-siar pada petang itu. Dalam dua atau tiga hari lagi, dia akan mula bekerja di Waltz Cafe. Kereta Perdana V6 yang dipandunya diparkirkan di tempat letak kereta berhampiran Pantai Cahaya Negeri itu. Sudah lama dia tidak menikmati keindahan pantai di Port Dickson ini. Dia keluar dari perut kereta sambil mengenakan cermin mata gelap. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke pantai yang putih bersih. Alunan ombak yang memukul pantai begitu mengasyikkan. Ombak masih begitu setia dengan pantai bagai tidak boleh dipisahkan. Gemersik dedaun kelapa yang meliuk-lentuk diterpa bayu menghasilkan irama yang mengundang damai di jiwa. Tidak ramai pengunjung yang berkelah pada hari Rabu itu. Mungkin bukannya cuti hujung minggu.
Hembusan bayu yang menyapa wajahnya terasa begitu dingin tetapi tidak sedingin salji yang turun di Perancis, tempat dia menimba ilmu dahulu. Anehnya, tiada kerinduan yang berputik di jiwa tentang Perancis. Itulah, kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Ketenangannya terganggu dengan bunyi gesekan biola yang entah dari mana datangnya. Meliar mata Amirulshah mencari kelibat yang bermain biola itu dan akhirnya matanya tertancap pada sesusuk tubuh kecil yang duduk di atas kerusi roda, sedang asyik menggeselkan biolanya. Gadis kecil itu hanya berseorangan. Di manakah orang tuanya?
Seketika kemudian, seorang lelaki datang lalu duduk bersebelahan dengan gadis kecil itu. Mungkin abangnya, telah Amirulshah. Amirulshah jadi leka memerhati telatah kanak-kanak perempuan itu. Telefon bimbit yang berdering tidak dihiraukan. Dia hanyut dalam irama merdu gesekan biola diselang-seli dengan deruan ombak yang menghempas pantai...
“AKU memang tak faham betul dengan Cik Rahayu tu!” dengus Johanna sewaktu dia dan Noremi sedang menonton siaran drama di televisyen.
“Apa yang kau tak faham?”
“Semalam, ada ke patut dia suruh aku beli telur walhal tu bukan kerja aku. Mentang-mentanglah puan tak ada, bukan main lagi dia,” ujar Johanna, marah.
“Kau sabar jelah. Bukan kau tak faham perangai anak dara tua tu. Agaknya sebab tulah tak ada lelaki yang minat kat dia,” fikir Noremi.
“Kau ni... tak baik cakap macam tu tau. Mungkin belum sampai jodoh dia...”
“Kalau dah perangai buruk macam tu, sapa yang nak...” perli Noremi.
“Mungkin ada sebab kenapa dia berperangai macam tu,” balas Johanna.
“Eh... eh... tadi bukan main marah lagi dekat minah tu. Sekarang kau pula sibuk back-up dia. Sekarang aku yang tak faham dengan kau,” Noremi menyindir kawan baiknya itu.
Johanna tergelak kecil. Drama Korea yang sedang ditayangkan di televisyen tidak menarik minatnya. Dia memandang Noremi yang begitu khusyuk menonton. Minah ni memang ‘hantu’ tengok cerita Korea.
“Wei, aku nak keluar sekejap. Bosanlah duduk dalam rumah,” Johanna bersuara.
“Kau nak pergi mana malam-malam buta ni? Kau tu perempuan Cik Hana oi...” Noremi memberi peringatan.
“Ala, baru pukul sembilan. Aku ingat nak pergi pasaraya kejap. Saja, jalan-jalan. Kau nak kirim apa-apa?”
“Thanks but no thanks. Kau jalan baik-baik. Kalau ada apa-apa, telefon,” ujar Noremi.
Dapat Johanna mengesan keprihatinan Noremi dalam kata-katanya tadi. Itulah yang membuatkan dia senang berkawan dengan Noremi. Gadis itu selalu mengambil berat akan dirinya. Noremi juga walau kelakar dan lurus bendul orangnya, tapi dia seorang yang boleh dipercayai.
Tanpa berlengah, Johanna mencapai kunci skuternya lalu menghidupkan enjin. Kemudian, dia berlalu keluar meninggalkan kepulan asap di udara...
VILLA Harmoni disimbahi dengan gemerlapan lampu di sekitar taman mini yang dibina di situ. Ditambah dengan kilauan cahaya chandelier di ruang tamu membuatkan villa itu tampak bersinar dan mewah. Kereta Perdana V6 memasuki perkarangan villa tersebut lalu diparkir di kawasan yang sesuai. Amirulshah keluar dari perut kereta itu. Dia melihat mama dan papanya sedang duduk beristirehat di taman. Lantas, dia mengambil keputusan untuk turut serta.
“Kamu dari mana Mirul?” tanya Puan Marina sejurus anak sulungnya itu mengambil tempat di kerusi bersebelahan suaminya.
“Saja jalan-jalan. Dah lama tak bersiar-siar kat bandar. Banyak yang dah berubah walau baru tiga tahun Mirul tinggalkan bumi Port Dickson ni,” jawab Amirulshah.
“Sedangkan pantai boleh berubah, inikan pula kehidupan kita,” ringkas kata-kata Puan Marina.
“Tadi mama call kenapa tak angkat?”
Amirulshah hanya senyum sebagai jawapan pada pertanyaan mamanya tadi. Dia sedar panggilan mamanya tadi tapi sengaja tidak mahu menjawabnya. Dia terpesona dengan gesekan biola budak perempuan berkerusi roda tadi.
“Ada apa mama call Mirul?” tanya Amirulshah.
“Kawan kamu si Hafiz datang tadi. Lama juga dia tunggu kamu.Bila mama call kamu tak angkat, mama suruhlah dia balik,” jawab Puan Marina.
“Kenapa dia tak call handphone Mirul je?”
“Entah, mama tak tahu. Agaknya saja nak bagi kejutan,”
Amirulshah melepaskan keluhan kecil. Hafiz kawan baiknya sejak mereka menuntut bersama-sama di USM. Selepas tamat pengajian ijazah, dia ke luar negara sementara Hafiz ditawarkan bekerja. Ada juga mereka berhubung sekali-sekala. Hafiz pasti tidak banyak berubah kerana mama masih mengenalinya. Mungkin dia akan hubungi Hafiz esok.
“Jadi, kamu akan bekerja di Waltz Cafe?” papanya, Tuan Kamarul bertanya setelah agak lama membisu.
“Ya, mama kata Mirul boleh masuk bekerja dalam minggu ni. Tapi, kena jadi pelayan dulu. Lepas tu mama suruh menyamar seolah-olah Mirul bukan anak mama. Kiranya buat macam tak kenal antara satu sama lain,” jelas Amirulshah.
Tuan Kamarul memandang wajah isterinya meminta penjelasan. Puan Marina melemparkan senyum. Dia terlupa untuk memberitahu suaminya itu tentang rancangannya.
“Saya ada rancangkan sesuatu untuk si Mirul ni. Bukan apa, lebih baik dia belajar dari bawah. Selepas bekerja di Waltz Cafe sementara waktu, dia boleh bekerja di KM Holdings pula,” jawab Puan Marina.
“Hah, Aizat, nak ke mana tu? Dah malam ni, kan?” tegur Puan Marina tatkala melihat anak bongsunya sedang menolak motorsikal RXZ berwarna merah itu keluar dari garaj.
“Jumpa kawan kejap mama, boleh ya...” pujuk Aizat.
“Jangan balik lambat. Pukul sebelas mesti ada kat rumah. Kalau tak, kamu tidur kat luar,” ujar Puan Marina.
“Yes, mum!” balas Aizat.
“Lina tak balik minggu ni ma?” tanya Amirulshah.
“Tak, dia kata ada program di universiti. Kamu bukan tak tahu adik kamu tu, aktif 24 jam. Kelab debatlah, Persatuan Bulan Sabit Merahlah, Majlis Perwakilan Pelajar lagi... Mama tak tahu macam mana dia bahagikan masa belajarnya tu,” rungut Puan Marina.
“Ala, dia dah besar ma. Pandailah dia bahagikan masa belajar dengan berpersatuan tu. Okeylah ma, Mirul nak keluar kejap,” ujar Amirulshah.
“Lah... nak ke mana lagi? Kamu baru je balik,” Puan Marina bertanya tidak puas hati.
“Teringin nak makan pizza pula malam-malam ni,” jawab Amirulshah.
“Telefon jelah,” balas Puan Marina.
“Tak apalah ma... lepas makan mungkin Mirul nak jalan-jalan sekejap,” balas Amirulshah.
“Hmm... suka hati kamulah. Hati-hati bawa kereta tu. Hah, Aizat...” kata-kata Puan Marina terhenti di situ apabila melihat kelibat Aizat dan motorsikalnya sudah tiada.
“Bila budak tu keluar? Tak dengar bunyi motor pun,” sambung Puan Marina.
Amirulshah hanya tersengih. Dia bangun lalu menuju semula ke kereta Perdana V6 miliknya, hadiah hari jadi yang ke-25. Enjin kereta dihidupkan lalu dia mula memandu keluar dari halaman Villa Harmoni.
“Sunyi pula bila budak-budak tu tak ada ya, bang?”
“Itulah, saya minta awak mengandung lagi, awak tak mahu,” usik Tuan Kamarul.
“Ala... abang ni...” ujar Puan Marina tersipu malu dengan usikan suaminya itu.
SUDAH hampir satu jam dia berjalan-jalan di sekitar pasaraya The Store yang terletak agak jauh dari rumahnya. Rak yang menempatkan snek dan coklat dituju. Seingatnya, stok coklat di rumah sudah hampir habis. Johanna mencapai beberapa bar coklat yang pelbagai perisa lalu dimasukkan ke dalam bakul kecil berwarna hijau yang dijinjitnya. Dia beralih ke bahagian makanan ringan pula. Matanya mencari keropok Jack n Jill Roller-coaster kegemarannya.
Setelah ketemu apa yang diinginkan, Johanna berjalan ke bahagian fruits & veges pula. Buah-buah epal merah kelihatan sudah masak ranum. Ada juga buah mangga dan pear. Di dalam peti sejuk masih ada beberapa biji epal hijau dan pic jadi Johanna membatalkan niatnya untuk membeli buah-buahan. Dia melintasi pekerja yang sedang mencuci lantai. Ada papan tanda di situ yang mengatakan lantai licin. Johanna berjalan perlahan-lahan, takut dia tergelincir.
Tak semena-mena, tiba-tiba ada seorang pemuda yang hampir jatuh ke lantai tetapi sempat disambut oleh Johanna. Bakul kecil yang dipegangnya terlepas menyebabkan isinya terkeluar.
“Te... terima kasih,” ucap pemuda itu.
“Sama-sama,” balas Johanna.
Mereka berdua tunduk mengutip coklat dan keropok yang terkeluar dari bakul. Sempat Johanna mengintai wajah pemuda di hadapannya. Kacak juga.
“Maaf... saya tak sengaja,” ujar pemuda itu.
“Ah, tak apa. Lantai licin, awak tak perasan papan tanda tu ke?” tanya Johanna.
Pemuda itu tersengih menampakkan barisan giginya yang putih tersusun.
“Seorang je?”
“Ya, seorang je,” jawab Johanna.
“Em, okaylah, I’ve to go. Thanks again,” ucap pemuda yang memakai T-shirt kosong berwarna hijau muda dan seluar tiga suku berwarna hitam.
“Your welcome,” Johanna membalas lalu memerhatikan langkah kaki pemuda tadi meninggalkannya.
Johanna keluar dari bahagian fruits & veges untuk membuat bayaran. Dia melihat ke dalam bakul yang dipegangnya. Rasanya, tidak ada lagi yang hendak dibeli.
“Aduh!” getus Johanna apabila dia terlanggar seseorang.
“Wei, buta ke?” herdik lelaki yang berlanggar dengannya.
“Maaf, saya tak sengaja,” ujar Johanna tanpa memandang wajah orang yang dilanggarnya.
“Lain kali jalan guna mata bukan lutut,” perli lelaki yang dilanggarnya lagi.
Johanna tersentak. Amboi, mulut laser mamat ni. Johanna masih menundukkan wajah.
“Maaf,” hanya itu yang mampu Johanna ucapkan, malas untuk berbalah.
Lelaki itu berlalu. Johanna memandang lelaki yang melanggarnya. Dia menjelirkan lidah tanda marah. Nasib baik lelaki itu membelakanginya, tidak dapat melihat perbuatan Johanna tadi.
Selepas membuat pembayaran, Johanna melangkah keluar dari Pasaraya The Store itu. Baru sahaja dia hendak melintas menuju ke seberang, sebuah kereta meluncur laju ke arahnya. Mujur ada seseorang sempat menarik Johanna ke bahu jalan dari menjadi mangsa malam itu.
Johanna mengurut dadanya supaya bertenang. Dia mengangkat wajah, memandang penyelamatnya.
“Awak?” ujar Johanna kelihatan terkejut.
Pemuda itu tersenyum. Pemuda yang telah diselamatkan oleh Johanna di bahagian fruits & veges tadi.
“Awak okey?”
Johanna menganggukkan kepalanya. Syukur, dia selamat.
“Terima kasih,” ucap Johanna.
“Sama-sama,”
“Dah nak balik ke?” tanya lelaki itu lagi.
“Ya, awak pun?”
“Yup, dah lewat ni. By the way, I’m William. William Chua,” lelaki itu memperkenalkan diri.
“Johanna. Panggil Hana saja,”
“Nice meeting you Hana. This is my card. Okaylah, I’ve to go. Please becareful,” ujar William.
“Okay, thank you. You too, be careful,” balas Johanna setelah mengambil kad kecil dari tangan lelaki itu.
Mereka berpisah di hadapan pintu masuk pasaraya. Johanna memandang ke kiri dan ke kanan sebelum melintas. Takut andai kejadian yang sama berulang. Setelah memastikan keadaan selamat, dia berlari anak menuju ke arah skuternya. Sempat dia membaca nama yang tertera pada kad tersebut.
‘Oh William Chua. Operational Manager in Global Jaya Holdings’
“Hmm... menarik...” ucap Johanna.
Waltz Cafe
SKUTER yang dibawa oleh Johanna hampir berlanggar dengan kereta Perdana V6 berwarna hitam ketika dia membelok di sebatang lorong berhampiran dengan Taman Komuniti Awam Port Dickson. Terasa semangatnya terbang melayang entah ke mana. Mujur tidak ada kenderaan lain waktu itu. Johanna segera memberi isyarat membelok ke kiri, ke bahu jalan. Kereta itu turut sama memakirkan keretanya di belakang skuter milik Johanna. Sememangnya silap pemandu Perdana V6 itu kerana lampu isyarat sudah bertukar hijau di pihak Johanna tetapi dia tetap mahu bergerak ke hadapan. Buta apa?
“Hei, mata kau letak kat mana hah?” tegur pemandu kereta Perdana V6 itu dengan penuh sinis sejurus dia keluar dari perut kereta.
‘Ewah, ewah, ewah... dia yang salah aku pula yang kena marah. Ni tak boleh jadi. Sesedap rasa dia nak marah aku. Siap kau!’ gumam Johanna di dalam hati.
“Saudara, tak reti bagi salam dulu. Main terjah je. Sepatutnya, saudara minta maaf pada saya sebab saudara yang salah. Bukan saya,” balas Johanna.
“Itu aku punya sukalah. Takkan kau tak nampak aku tengah laju,” perli lelaki berpakaian baju-T berkolar biru laut itu.
“Hah? Saudara, kita hidup ni ada undang-undang. Awak tahu kan yang lampu isyarat dah merah waktu tu, takkan tak reti nak berhenti. Awak bukannya budak-budak lagi,” bidas Johanna membuatkan muka pemuda itu merah padam.
“Dan... jika hal ni dibawa ke mahkamah, saya yakin saya boleh menang,” ujar Johanna walhal dia tidak pasti apa yang dicakapnya benar atau tidak.
“Huh!” pemuda itu mendengus sebelum berlalu meninggalkan Johanna terpinga-pinga di situ.
Enjin kereta dihidupkan, kemudian Perdana V6 itu bergerak melintasi Johanna. Bunyi hon yang kuat membuatkan Johanna mengurut dada tanda terkejut.
“Kurang asam punya mamat! Sempat dia hon aku,” getus Johanna, marah.
Tanpa berlengah Johanna menghidupkan enjin skuternya. Dia harus sampai sebelum pukul lapan. Puan Marina hendak adakan mesyuarat pagi itu. Dengan hati yang berbahang, dia memandu menuju ke Waltz Cafe
WALTZ CAFE akan dibuka lewat sedikit hari ini. Puan Marina ingin memperkenalkan seorang pekerja baru. Ketika itu Johanna masih belum tiba kerana tayar motornya pancit di tengah jalan. Mujur jaraknya tidak jauh dari Waltz Cafe. Lantas, skuter berwarna biru itu ditolak perlahan. Terasa lenguh bahunya menolak motor yang dirasakan lima kali ganda berat darinya. Sampai sahaja, dia terus bergegas ke bilik menyalin pakaian. Blaus yang dipakainya diganti dengan kemeja rona kekuningan dan seluar slack rona coklat. Apron berwarna coklat pekat diikat dipinggangnya. Itu adalah uniform rasmi para pekerja di kafeteria ini. Setelah memastikan penampilannya rapi, dia melangkah laju menuju ke tingkat dua di mana pejabat Puan Marina terletak.
Johanna mencelah di sebalik barisan pekerja yang sedang mendengar butir-bicara ketua mereka. Dia sudah lewat hampir sepuluh minit. Sempat dia melihat wajah Rahayu yang tersneyum sinis. Habislah... pasti teruk dibebelnya sekejap lagi. Hidayah yang memandang ke arahnya, mengangkat kening seakan bertanya kenapa lewat dan Johanna hanya tersenyum kecil sebagai jawapan.
“Saya kenalkan, ini Mohd Amirulshah, pekerja baru di sini. Dia akan bertugas sebagai pelayan di sini,” ujar Puan Marina.
Bagai hendak terkeluar biji mata Johanna tatkala melihat lelaki di hadapannya kala ini. Lelaki itulah yang hampir melanggarnya pagi tadi. Dan lebih mengejutkan, lelaki itu akan bekerja bersama-sama dengannya di Waltz Cafe ini. Oh, bala apakah ini?
“Saya Amirulshah, gembira dapat berkenalan dengan semua. Harap boleh beri banyak tunjuk ajar,” ucap Amirulshah penuh sopan.
‘Amboi, berbudi bahasanya mamat ni. Lain benar dengan yang aku jumpa pagi tadi,’ desis hati Johanna.
“Hana, saya harap awak dan Amirulshah boleh bekerjasama dengan baik. Amirul, Hana adalah ketua pelayan di sini,” ujar Puan Marina.
“Tentu sekali puan,” jawab Johanna bersungguh-sungguh.
Geli hati Johanna apabila melihat muka pemuda itu yang seperti nampak hantu lagaknya.
‘Siaplah kau lepas ni. Tadi kau hon aku, kan? Tak apa... tak apa... ada lori, ada bas, ada hari, nanti kubalas,’ ucap Johanna di dalam hati.
“Baiklah, awak semua boleh kembali semula bekerja. Rahayu, saya nak jumpa awak sekejap,” pinta Puan Marina.
Pekerja-pekerja Waltz Cafe mula bersurai untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing. Amirulshah menuju ke arah Johanna. Johanna memberanikan diri menatap pandangan tajam pemuda itu.
“Tak sangka boleh jumpa kau kat sini,” sinis nada suara Amirulshah.
“Itulah namanya jodoh, tak gitu Shah?” sindir Johanna kembali.
Belum sempat Amirulshah membalas, Johanna sudah membuka mulut.
“Jadi sekarang kita akan bekerjasama. Harap awak bersikap professional. Mari, saya tunjukkan awak keadaan sekitar cafe ni,” ujar Johanna.
Sebenarnya, dia malas mahu memanjangkan pergaduhan yang sia-sia dengan lelaki itu. Amirulshah hanya menurut langkah Johanna.
“Waltz Cafe bukanlah sebuah restoran biasa. Ia dibahagikan kepada dua tingkat. Tingkat pertama adalah ruang makan. Di sini menunya lebih ke arah barat. Pelbagai jenis kek dan pastri boleh di dapatkan di kaunter bersebelahan cashier di sana. Ada juga disediakan masakan seperti fish n chip, spaghetti, lasagna, pizza dan sebagainya. Awak akan bertugas di sini,” terang Johanna.
“Kau suka makan kek apa?” tanya Amirulshah tiba-tiba.
“Saya lebih gemar makan kek ciffon pandan dan kek coklat karamel. Kalau dapat, boleh lupa dunia,” jawab Johanna.
“Mari, kita ke tingkat dua,” Johanna meneruskan bicara.
Mereka berdua menaiki tangga ke tingkat dua semula. Amirulshah memerhati sekeliling. Tadi, dia tidak sempat untuk mengamati persekitaran di tingkat itu.
“Tingkat dua pula adalah pejabat dan ruang bacaan. Para pengunjung boleh membaca buku-buku dan majalah yang terdapat di tingkat dua dan di sini juga ada dijual buku-buku bercorak masakan dan interior design. Buku tentang pelancongan pun ada juga. Sesiap yang suka mengembara, boleh dapat banyak maklumat di sini,” jelas Johanna.
“Satu konsep yang menarik,” puji Amirulshah.
“Betul, saya setuju dengan awak. Sebenarnya Waltz Cafe adalah salah satu anak syarikat KM Holdings milik Tuan Kamarul, tokoh usahawan yang disegani di Port Dickson ni. Beliau memiliki beberapa buah hotel di beberapa buah negeri yang tarikan utamanya adalah sektor pelancongan. Puan Marina merupakan isteri kepada Tuan Kamarul,” Johanna memberitahu Amirulshah.
Amirulshah mengamati gadis yang berdiri di sebelahnya. Dia baru menyedari keayuan gadis bertudung ala Wardina itu. Kulitnya kuning langsat. Hidungnya tidak terlalu mancung dan senyumannya... sungguh mesra dan tulus. Amirulshah merasakan dadanya bergetar. Ish, apakah yang sedang melanda dirinya kini? Segera dia membuang perasan itu pergi.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” tanya Johanna membuatkan Amirulshah sedikit tersentak.
“Ah, tak ada apa-apa. Em, ada apa lagi yang perlu saya tahu?” soal Amirulshah.
“Saya?” Johanna bertanya tidak faham.
“Ah, maaf. Sebab awak ber ‘saya’ dan ber ‘awak’, jadi... lebih baik saya pun cakap macam tu, boleh?” pinta Amirulshah.
Johanna menggelengkan kepalanya. Ada-ada saja mamat ni.
“Suka hati awaklah. Asalkan awak bahagia. Tingkat bawah ada tiga orang pelayan termasuk awak. Tingkat dua pula ada seorang cashier dan seorang petugas yang mengemas buku dan seorang pelayan. Oh ya, ada seorang lagi rakan sekerja awak. Namanya Noremi. Dia off hari ni. Esok, bolehlah awak berkenalan dengan dia,” ujar Johanna sambil berjalan menuruni tangga menuju ke tingkat satu.
“Awak, tak nak kenal saya?” tanya Amirulshah.
Langkah kaki Johanna terhenti. Apakah yang dimaksudkan dengan kata-kata itu?
RAHAYU memandang gelagat Johanna dan Amirulshah dengan pandangan yang jelik. Meluat dia dengan Johanna yang baginya perasan cantik itu. Sejak gadis itu memasuki Waltz Cafe, dia sudah tidak menjadi perhatian lagi. Kecantikan dan keramahan gadis itu menyebabkannya mudah menyesuaikan diri di Waltz Cafe. Puan Marina juga sayangkan gadis itu. Mujur dia ada kedudukan di Waltz Cafe. Jika tidak, sudah pasti Johanna akan mengantikan tempatnya. Bukannya mudah untuk dia sampai ke tahap ini. Sudah lima tahun dia bekerja sebagai tukang masak biasa dan baru sekarang dia dinaikkan pangkat sebagai ketua chef.
Itupun kerana ketua chef yang lama meletakkan jawatan atas perbuatan jahatnya. Dia telah memasukkan julap ke dalam masakan ketua chef yang akan dihidangkan kepada pelanggan. Kesannya, pelanggan yang menikmati makanan itu asyik keluar masuk tandas sehingga pengsan. Ketua chef yang tidak tahu apa-apa itu dengan terpaksa meletak jawatan demi menjaga maruahnya sebagai tukang masak. Oleh kerana tiada sesiapa yang ingin memikul tanggungjawab sebagai ketua chef, Rahayu dengan rela hati menawarkan diri.
Dan dia ada mendengar yang Johanna handal memasak. Tidak lama lagi akan diadakan pertandingan memasak yang diadakan setiap tahun yang menawarkan hadiah lumayan dan kenaikan pangkat. Andai Johanna menang, dia harus kembali kepada tugas lamanya, iaitu tukang masak biasa dan bekerja di bawah Johanna, adalah satu mimpi ngeri buatnya!
“BAGAIMANA dengan projek penambakan laut di pantai Blue Lagoon tu?” soal Tuan Kamarul pada Husna.
“So far so good uncle, rasanya projek itu tak akan memakan masa yang panjang macam penambakan laut di pantai Cahaya Negeri kerana pesisir pantainya tidaklah terlalu panjang dan luas,” jawab Husna.
“Bagus... saya harap tak akan ada masalah yang timbul nanti,”
“Masalah itu sesuatu yang kita tak boleh jangka, uncle. Tapi, saya yakin, kalau semuanya berjalan ikut seperti apa yang dirancangkan, Insyaallah, tak akan ada masalah,” jawab Husna, tenang.
“Baiklah, kalau macam tu, lega rasanya hati uncle. Uncle minta diri dulu, ada lunch dengan Dato’ Ismail kejap lagi,” ujar Tuan Kamarul.
“Er... uncle...” Husna tidak menghabiskan kata-katanya.
“Iya?”
“Mirul, tak kerja di sini ke?” berhati-hati Husna bertanya, takut andai Tuan Kamarul dapat mengesan niatnya yang sebenar.
Tuan Kamarul melemparkan senyum. Faham akan pertanyaan Husna tadi.
“Buat sementara ni, dia kerja di Waltz Cafe. Auntie kamu yang minta dia kerja di sana. Lagipun, uncle tak yakin dia minat dengan urusan syarikat. Kamu faham-faham sajalah minat Amirul tu. Mujur adiknya Alina tak ikut jejak langkahnya,” kata Tuan Kamarul.
Husna tersenyum kelat mendengar jawapan Tuan Kamarul tadi. Hampa kerana fikirnya, Amirulshah akan bekerja di bawah satu syarikat dengannya. Senanglah untuk mereka berjumpa andai Amirulshah dekat dengannya.
Tuan Kamarul berlalu pergi. Husna mengetuk meja dengan jemarinya. Apakah agaknya yang sedang dibuat oleh Amirulshah sekarang ini?
Cubit-cubit manja
“SALAH apa yang awak buat tu!” marah Johanna.
Amirulshah terkebil-kebil apabila dimarahi Johanna. Dia tidak pasti apa silapnya kali ini. Johanna pula masih tidak mengerti dengan Amirulshah. Sudah banyak kali dia menegah Amirulshah supaya meletakkan sudu dan garpu di sebelah kanan pinggan tapi masih tidak faham-faham.
“Banyak kali saya pesan, sudu dan garpu letak bersama di sebelah kanan pinggan. Bukan sudu di kanan, garpu di kiri. Awak ni pekak ke?” marah Johanna lagi.
Amirulshah tersengih. Dia tidak sengaja sebenarnya. Ala, dia masih baru. Pasti ada buat silap. Johanna ni memang panas baran orangnya.
“Saya tak sengaja. Itu pun nak marah,” ujar Amirulshah.
“Ah, malaslah saya nak layan awak! Make sure kedudukan sudu dan garpu tu betul. Sebelah kanan, faham! Sebelah kanan!” balas Johanna.
“Yes mem!”
Johanna menggelengkan kepalanya lalu melangkah pergi meninggalkan Amirulshah menyiapkan kerjanya. Dia singgah ke kaunter sebentar. Hidayah yang melihat hanya tersenyum.
“Masam je Hana. Mamat tu buat hal lagi?” tegur Hidayah.
“Yalah, aku geram dengan dia tu. Dah banyak kali ajar pun tak faham-faham. Hari tu orang suruh dia letak kotak tisu kat tengah meja, dia letak kat tepi. Hish, rasa nak fire je muka dia tu. Dari manalah Puan Marina jumpa mamat ni...” Johanna merungut, tidak puas hati.
Hidayah tergelak kecil. Tidak dinafikan, sejak Amirulshah menjadi ahli Waltz Cafe, lelaki itu dan Johanna banyak berselisih pendapat. Kadang-kadang kecoh Waltz Cafe dengan suara mereka berdua.
“Sabarlah, dia kan budak baru lagi...” pujuk Hidayah.
“Baru tak baru. Bukannya aku tak ajar dia buat semua tu, dah ajar! Dia yang tak faham-faham. Agaknya aku kena tulis semua peraturan tu dalam buku, rebus, bagi dia minum. Baru pandai agaknya,” rungut Johanna lagi.
“Amboi, melampau sungguh kau ni...”
“Apa yang kecoh-kecoh ni?” sapa Noremi.
“Biasalah, Hana dengan si Mirul tu. Pantang jumpa, bertekak aje...” jawab Hidayah.
“Yalah, budak dua orang ni tak boleh berjumpa. Asyik nak gaduh je. Kau bebaik Hana, orang dulu-dulu kata, kalau selalu gaduh, nanti jatuh sayang,” ujar Noremi.
“Eii.. tolonglah. He’s not my taste okey?” tolak Johanna.
“Dah... dah... baik kau berdua buat kerja. Nanti nampak Cik Rahayu, lagi masalah,” ujar Hidayah meleraikan perbincangan kami.
Seorang pelanggan memasuki Waltz Cafe. Johanna segera melangkah ke arah pelanggan yang sememangnya dikenali itu. Belum sempat dia menyapa, Amirulshah sudah mendahuluinya. Dia berbual mesra dengan Hafiz. Kenalkah mereka berdua antara satu sama lain?
WILLIAM sedang asyik menyemak fail di atas mejanya semasa setiausahanya mengetuk pintu. Dia meminta setiausahanya itu masuk. Elly, setiausahanya membawa sebuah fail berwarna kuning dan sekotak hadiah yang dibalut kemas. Kedua-duanya dihulurkan pada William.
“Dari siapa?” William bertanya.
“Miss Jasmin,” jawab Elly sepatah.
“Thanks, by the way, make sure you remind Pak Hamid to pick up my sister at 5 pm today,” ujar William.
“Okay sir. Anything else?”
“No, you may go now,” jawab William.
Kotak yang sederhana besarnya itu direnung. Untuk apa hadiah ini agaknya? Wajah cantik Jasmin terbayang di wajahnya. Anak pengarah syarikat Global Jaya Holdings tempat dia bekerja sekarang. Gadis berusia dua puluh empat tahun itu tidak sedikit pun menarik perhatiannya. Jasmin terlalu manja dan bersikap keanak-anakan.William tidak suka perempuan yang tidak tahu buat kerja seorang perempuan.
Siapa yang hendak menguruskan rumah dan menjaga anak-anak andai seorang isteri tidak pernah melakukan perkara itu semua? Dia tahu Jasmin anak orang berada. Boleh mengupah sebanyak mana pembantu rumah yang dia inginkan. Namun William tetap tidak dapat menerima Jasmin. Ditambah pula dengan keadaan adik bongsunya yang tidak mengizinkan, sanggupkah Jasmin memikul tanggungjawab itu? Tambahan pula, mereka berlainan agama dan bangsa. Tidakkah Jasmin sedar?
“HAFIZ ni kawan saya masa di universiti dulu,” Amirulshah berkata.
“Oh, and he is my friend since we were in secondary school,” balas Johanna.
“Really? What a coincidence... jangan-jangan, dia nilah yang kau selalu cerita kat aku tu?” tanya Amirulshah pada Hafiz.
Johanna memandang Hafiz inginkan penjelasan. Hafiz hanya tersengih. Malas mahu membuka pekung di dada.
“Wei, kau nak makan apa? Aku belanja,” Amirulshah mengubah topik perbualan apabila menyedari pandangan tidak senang dari Johanna.
“Encik Amirulshah, kita ada banyak lagi kerja nak buat. Awak jangan nak mengada-ngada. Dah, ambil pesanan Hafiz dan teruskan kerja ya. Kejap lagi ramailah pengunjung. Sekarang dah masuk waktu makan tengah hari,” ujar Johanna.
“Yalah, yalah... tak boleh tengok orang senang sikit,” rungut Amirulshah.
“Apa dia?” soal Johanna apabila mendengar rungutan Amirulshah tadi.
“Tak ada apa. Saya tanya dia nak makan apa je...” Amirulshah berdalih.
Hafiz hanya diam. Johanna berlalu pergi. Amirulshah sempat berpesan pada Hafiz agar menghubunginya selepas waktu bekerja nanti sebelum dia mengekori langkah Johanna ke dapur.
Chef Baru
“WEI, kau jangan tak datang tau. Penat kitaorang plan untuk reunion ni,” pujuk Amelina sewaktu dia dan Johanna berbual di telefon malam itu.
“Yalah, Insya-allah, andai tiada aral melintang, sampailah aku. Pukul berapa mula?”
“Pukul sembilan malam. Dekat Dewan Saujana, sekolah kita dulu. Get it?” jawab Amelina.
“Okey,” Johanna membalas.
“Hana...” Amelina tidak meneruskan kata.
“Apa dia?”
“Fahimi juga akan datang,” jawab Amelina perlahan.
Bagai halilintar menusuk ke pendengaran apabila mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Amelina tadi. Gemuruh jiwanya tidak dapat dibendung apabila mendengar nama yang disebutkan Amelina tadi. Nama yang telah mencoret luka di hati.
“Hana, kau okey?” ujar Amelina membuatkan Johanna sedikit tersentak.
“Ah, I’m alright. Kalau tak ada hal, aku datang. Masak sedap-sedap tau,” Johanna sengaja bersuara riang, menutup debar di hati.
“Mesti... aku ni pakar masakan sejak sekolah lagi. Kau datang ya,” harap Amelina.
“Okey... okey...” jawab Johanna sebelum menamatkan pangggilan.
Telefon bimbit yang masih melekap di tangan direnung dengan pandangan kosong. Johanna membuka laci mejanya, mengeluarkan sebuah bingkai gambar berwarna merah. Gambar di dalamnya ditatap penuh makna. Tanpa sedar, ada air mata yang menitis. Lalu... kenangan lama mula menjengah ruang mindanya....
REMANG senja mula kelihatan di langit. Mentari mula sedikit demi sedikit menyembunyikan diri di ufuk barat. Camar juga terbang berkawan pulang ke sarang masing-masing. Bayu laut menjamah rakus wajah Johanna. Lelaki yang duduk di sebelahnya membuang pandang ke samudera saujana mata memandang. Dia tidak dapat meneka perasaan lelaki itu kala ini. Benarkah kata-kata yang diungkap oleh Fahimi tadi?
“Saya harap Hana boleh terima keputusan saya dengan hati yang terbuka,” akhirnya lelaki itu bersuara setelah agak lama kebisuan bermaharajalela antara mereka.
“Tapi, kenapa? Apa salah Hana?” tanya Johanna, keliru.
“Anggaplah antara kita tak ada jodoh. Lagipun, selepas ini, kita akan terpisah juga. Saya akan sambung belajar di Ireland dan awak, saya tak tahu apa yang awak rancangkan selepas ini,” ujar Fahimi.
“Walau terpisah jauh, Hana akan tetap mencintai awak Fahimi!” tegas Johanna.
“Tapi saya tak yakin akan hubungan jarak jauh. Kita masih mentah. Mungkin apa yang kita rasa sekarang ni bukan cinta tapi hanya sekadar rasa saling menyayangi dan memerlukan,” balas Fahimi.
“Bukankah sayang ertinya cinta?” duga Johanna.
“Menyayangi seseorang itu berlainan dengan mencintai seseorang. Kita boleh menyayangi semua orang tapi kita hanya mencintai orang yang kita yakin boleh jalani hidup bersama, selamanya,” jawab Fahimi, jelas.
“Hana yakin perasaan Hana pada Imie,” jelas Johanna.
“Maaf, Imie tak yakin,” balasnya.
Bagai sembilu kata-kata Fahimi menghiris pedih hati Johanna. Lelaki ini tidak yakin akan hubungan mereka. Lelaki ini tidak mempercayainya. Justeru, untuk apa lagi dikekalkan hubungan ini? Mungkin kata-kata lelaki ini ada benarnya. Mereka akan terpisah jauh. Selepas ini mereka akan membawa diri masing-masing. Pasti bertemu dengan kawan baru dan suasana yang baru. Nampaknya, antara mereka benar-benar tiada jodoh.
Bunyi pintu diketuk mematikan khayalan Johanna. Dia segera memasukkan bingkai gambar tadi ke dalam laci meja. Biarlah kenangan antara dia dan Fahimi disimpan rapi. Telah lama dia tinggalkan waktu persekolahan. Sudah lebih kurang lapan tahun. Pasti lelaki itu telah melupakan dirinya. Pintu biliknya diketuk sekali lagi. Entah apalah yang si Noremi ni hendakkan. Lantas dia bangun membuka pintu. Terjengul wajah Noremi yang sudah lengkap berbaju tidur.
“Hah, ada apa?” soal Johanna.
“Kau dah dapat panggilan dari Lina?” tanya Noremi membiarkan persoalan Johanna tergantung.
“Dah, tentang reunion tu, kan?”
“Yup, kau pergi tak?” soal Noremi.
“Tengoklah, kalau ada kelapangan,” jawab Johanna.
“Fahimi dah confirm datang,” ucap Noremi.
Nama itu disebut lagi. Mengapa hari ini seolah-olah mahu dia hanyut dibawa kenangan lalu yang memeritkan itu?
“Aku tahu,” lirih nada suara Johanna.
“Entah macam manalah agaknya jejaka paling kacak kat sekolah tu sekarang ya? Dah berpunya ke belum? Ish, kalau belum, aku nak cuba masuk jarum...” ujar Noremi.
‘Dia milik aku Emi,’ ucap Johanna di dalam hati.
“Kau ni... ada-ada saja. Dahlah, aku nak masuk tidur. Mengantuk sebab bangun awal tadi. Tahulah awak tu off esok. Jangan nak kacau aku pula,” Johanna berkata.
Noremi tergelak besar. Dia meminta diri dan Johanna terus menutup pintu dan kembali semula ke katil. Matanya tidak mahu lelap. Bayangan Fahimi bagai menari-nari di matanya. Entah bagaimana agaknya lelaki itu sekarang? Bak kata Noremi, sudah berpunyakah dia?
PAGI Khamis itu Johanna tiba awal di Waltz Cafe. Noremi bercuti hari ini. Hendak balik kampung katanya. Bila Johanna mengusik ada orang hendak merisiknya ke, dia mengiyakan saja. Noremi tu memang suka main-main. Sekali betul-betul ada orang datang merisik, baru tahu. Sudah ada beberapa pekerja yang berada di Waltz Cafe termasuklah Amirulshah. Johanna menyapa lelaki itu dan sebuah senyuman dihadiahkan padanya. Hati Johanna berdebar menerima senyuman tersebut namun segera dimatikan debaran itu.
“Awal sampai?” tegur Amirulshah.
“Salah ke?”
“Tak adalah. Selalunya lima minit sebelum waktu kerja baru nak terpacul. Mimpi apa semalam?” perli Amirulshah.
“Mimpikan awaklah. Mimpi ngeri. Sebab tu terbangun awal hari ni,” balas Johanna.
“Hai, rindu kat saya ke sampai terbawa-bawa dalam mimpi?” usik Amirulshah.
“Hahaha... kelakarnya. Tak ada masa nak mimpikan awak Shah. Buang masa je. Baik saya mimpikan Mawi ke, Anuar Zain ke, Fahrin Ahmad pun okey juga,” jawab Johanna.
Amirulshah mencebikkan bibirnya. Johanna berlalu ke bilik persalinan. Lima minit kemudian dia keluar berpakaian lengkap seperti biasa. Puan Marina sampai beberapa minit selepas itu. Pekerja-pekeja Waltz Cafe segera beratur untuk mesyuarat mini yang diadakan pagi itu.
“Assalammualaikum. Good morning ladies,” ucap Puan Marina.
“Puan, bukan ladies lagi. Tu...” Hidayah mengarahkan jari telunjuknya pada Amirulshah.
Mereka semua berpaling pada lelaki itu. Iya tak ya juga, dia seorang saja lelaki yang bekerja di sini. Baru Johanna menyedarinya. Kamal tidak dikira kerana dia hanya pemandu. Tak termasuk dalam hal-ehwal pelanggan ni.
“Oh, I’m sorry. Okay guys, today I would like to introduce you to our new shocoratie,”
“Hah? Apa benda tu puan?” tanya Rahayu.
Mereka mula berpandangan antara satu sama lain. Ada pekerja baru lagi nampaknya. Lelaki atau perempuan?
“Shocoratie tu adalah gelaran dalam bahasa perancis untuk chef yang khusus dalam pembuatan coklat. Baiklah, saya perkenalkan...”
Seorang lelaki yang agak tua muncul dari pintu utama mematikan kata-kata Puan Marina. Terdengar keluhan dari beberapa orang pekerja perempuan yang bertugas di situ. Ingatkan dapat lelaki yang kacak tapi...
“Oh, Pak Hassan, what a pleasant surprise. Ada apa datang ke sini?”
“Saya ada pesanan dari tuan. Katanya puan hendak beri tuan sesuatu,” ujar Pak Hassan, pemandu keluarga Tuan Kamarul.
“Oh, saya terlupa. Sekejap ya Pak Hassan. Pak Hassan ke pejabat saya dulu. Mirul, tolong ambilkan kopi untuk Pak Hassan,” ujar Puan Marina.
“Tak perlu susah-susah puan,” tolak Pak Hassan, sopan.
“Tak ada susahnya Pak Hassan. Pak Hassan ke bilik saya dulu ya,” ujar Puan Marina.
Pak Hassan akur dengan kata-kata majikannya itu lalu segera melangkah menaiki tangga ke tingkat dua menuju ke bilik pejabat Puan Marina.
“Okey, kita sambung balik. Saya perkenalkan, Johan, our new chef here,” ucap Puan Marina.
Seorang lelaki yang berbadan sasa keluar dari pintu dapur. Kulitnya cerah kemerahan. Wajahnya pula licin dan bersih. Rambutnya pendek dan kemas. Yang menarik, matanya yang berwarna biru itu. Orang asingkah?
“Wah, handsomenya... kenapalah pekerja lelaki kat sini handsome-handsome belaka,” puji Hidayah.
Johanna tersenyum kecil. Tidak dinafikan, lelaki di hadapan mereka kacak orangnya.
“Hai, my name is Johan Seedham. I’m your new chef here. Nice to meet you all,” ujar Johan, memperkenalkan diri.
“Wah, macholah suara dia,” tambah Hidayah lagi.
Johanna menjeling ke arah Amirulshah yang baru tiba setelah menghantar kopi pada Pak Hassan tadi. Dia memandang Johanna.
“Kenapa?” soal Amirulshah apabila melihat Johanna memandangnya.
“Handsome, kan dia?” tanya Johanna.
“Hmm... biase je,” jawab Amirulshah.
Johanna mencebikkan bibir. Jealouslah tu tengok ada orang lagi handsome dari dia.
“Puan, dia ni orang putih ke?” soal Ain, pekerja di tingkat dua.
“Saya kacukan. Emak saya orang Perancis dan ayah saya orang Melayu,” jawab Johan bagi pihak Puan Marina.
Ternganga mereka mendengar Johan bercakap dalam Bahasa Melayu yang fasih. Tak ada pelat pun. Puan Marina tersenyum manis.
“Okey, awak semua boleh buat kerja masing-masing. Kejap lagi business nak mula,” ujar Puan Marina.
Mereka mula bersurai. Aku lihat Rahayu sedang berbual mesra dengan chef baru itu. Amboi, dah mula nak menggatal nampak. Mungkin, jodohnya dah sampai...
As-Syakirin
DALAM sebulan, tiga kali Johanna akan meluangkan masa di rumah kebajikan As-Syakirin yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Rumah kebajikan itu menempatkan kanak-kanak yang telah kehilangan ibu bapa dan juga kanak-kanak kurang upaya. Johanna gemar akan kanak-kanak. Dia akan duduk di situ dari pagi sehinggalah ke malam melayani telatah kanak-kanak di situ. Pengetua rumah kebajikan itu, Puan Fatimah amat menyenangi kehadirannya. Kanak-kanak di situ juga sudah kenal benar dengan Johanna. Setiap kali Johanna datang, pasti ada hadiah untuk mereka. Kanak-kanak di situ tidaklah ramai. Hanya enam belas orang sahaja. Dari berumur enam tahun, sehinggalah 15 tahun. Johanna bersimpati dengan mereka kerana dia juga pernah berada dalam keadaan yang sama. Kehilangan kasih sayang sejak kecil. Mujur dia seorang yang kuat semangat. Itu pun setelah dia jatuh beberapa kali dalam usaha meneruskan hidup.
“Lama tak datang Hana?” sapa Puan Fatimah apabila Johanna masuk ke pejabatnya.
“Banyak kerja puan. Ada staff baru masuk. Kena bagi tuisyen sikit kat dia,” jawab Johanna sambil terbayang wajah Amirulshah seketika.
“Bagaimana dengan As-Syakirin puan?” tanya Johanna pula.
“Alhamdulillah, semuanya seperti biasa. Cuma dua minggu lepas, ada seorang budak perempuan minta jadi sukarelawan di sini. Namun saya tolak kerana keadaan dia yang tak mengizinkan. Kedua-dua kakinya lumpuh. Tapi, dia mendesak juga untuk membantu di sini. Melihat kesungguhannya, saya pun lembut hati lalu menerimanya,” beritahu Puan Fatimah.
“Lelaki ke perempuan?”
“Perempuan. Remaja, 13 tahun,” jawab Puan Fatimah.
“Saya tak faham. Kenapa dia nak jadi sukarelawan di sini?”
“Dia hanya datang pada hujung minggu. Walaupun cacat, tapi dia berbakat besar. Pandai bermain beberapa alat muzik. Kanak-kanak di sini pun terhibur setiap kali dia bermain alat muzik lebih-lebih lagi bila dia bermain biola,” terang Puan Fatimah.
“Dia ada datang hari ini?”
“Ada, agaknya tengah bermain dengan kawan-kawan barunya,” jawab Puan Fatimah.
“Kalau macam tu, saya pergi berkenalan dengan dia dululah. Teruja pula saya,” ujar Johanna, gembira.
Puan Fatimah menghadiahkan secangkir senyum. Johanna bangun lalu menolak pintu sliding door itu dan kemudian menutupnya semula. Puan Fatimah memerhati saja langkah Johanna dengan perasaan yang lega. Alangkah bagus jika ramai anak-anak muda sekarang seperti Johanna. Baik dan penyayang...
IRAMA gesekan biola menusuk ke telinga Johanna sewaktu dia menghampiri dewan yang menempatkan kerusi dan meja untuk kanak-kanak di situ mengulangkaji pelajaran. Terpegun Johanna apabila melihat seorang remaja perempuan yang memakain skirt labuh warna merah jambu dan baju juga rona serupa sedang asyik menggesel tali biolanya sambil matanya terkatup rapat. Betapa gadis itu menghayati alunan melodi yang sedang dimainkannya. Johanna memerhati dengan penuh khusyuk. Dia turut sama dilambung ketenangan mendengar irama dari biola itu. Tepukan gemuruh kanak-kanak di situ mengejutkannya dari khayalan. Dia turut sama menghadiahkan tepukan buat gadis biola itu.
“Eh, Kak Hana datang!” jerit salah seorang kanak-kanak yang ada di situ.
Sepantas kilat Johanna dikerumuni dengan kanak-kanak yang rata-rata berumur dalam lingkungan enam hingga sepuluh tahun itu. Terpancar kegembiraan di setiap wajah. Johanna juga turut riang melihat senyuman yang menghiasi wajah kanak-kanak di situ.
Budak perempuan yang bermain biola tadi menolak kerusi rodanya perlahan-lahan. Johanna dan budak perempuan itu saling bertatapan. Sebuah senyuman dititipkan tanda senang dengan kehadiran gadis itu.
“Nama adik siapa?” soal Johanna, manis.
“Winnie,” jawab budak perempuan itu.
“Pandai Winnie main violin ya. Sedap!” Johanna memuji budak perempuan itu.
Winnie tersipu menerima pujian dari Johanna. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dan Johanna dengan senang hati menyambut huluran salam dari gadis kecil itu.
“Winnie!” terdengar nama gadis itu dipanggil.
Johanna berpaling dan dia terpana!
“NAMPAK Hana tak?” Amirulshah bertanya pada Hidayah.
“Hai, rindu ke?” sindir Hidayah.
“Ya, rindu sangat kat Hana tu....” ujar Amirulshah, bergurau.
“Rindu nak kena marah dengan dia ke?” sampuk Noremi membuatkan Amirulshah tersengih.
“Girlfriend awak tu cuti hari ni. Takkan tak tahu?” sambung Hidayah.
“Ya ke? Dia tak beritahu aku pun. Dia sakit ke Emi?”
“Taklah, dia ada hal nak diuruskan. Amboi, risau nampak...” Noremi memerli.
“Hal apa?” tanya Amirulshah lagi.
“Ish, sibuk je kau ni. Dah, pergi buat kerja. Nanti Cik Ayu nampak kau melepak macam ni, siaplah kau kena sembur dengan dia,” balas Noremi sekaligus menamatkan perbualan mereka bertiga.
“Mirul, come here,” Johan memanggil Amirulshah yang baru hendak bergerak ke meja pelanggan untuk mengambil pesanan.
Amirulshah memberi isyarat pada Noremi supaya meneruskan kerjanya yang tertangguh tadi. Noremi mengangguk faham. Amirulshah berjalan pantas ke arah Johan yang berdiri di pintu masuk bahagian dapur.
“AWAK!” serentak kedua-duanya bersuara.
Lantas kedua-duanya tergelak kecil. Johanna tidak sangka akan bertemu dengan lelaki itu di sini. Agak lama juga mereka tidak bersua-muka.
“Awak buat apa di sini?” soal Johanna.
“Saya nak ambil adik saya. Awak pula?” soal William.
“Saya sukarelawan di sini. So, Winnie is your sister?” Johanna bertanya seakan tidak percaya.
William menganggukkan kepalanya. Winnie berdehem mematikan perbualan mereka sebentar.
“Abang kenal dengan Kak Hana?” tanya Winnie.
“Kenal juga. Winnie, give me five minutes. I want to talk with her for a while,” pinta William.
Winnie tersenyum nipis. Faham maksud abangnya itu. Dia kembali menolak kerusi rodanya menuju ke gerombolan kanak-kanak yang riang bemain. William dan Johanna bergerak ke sudut yang agak jauh dari kawasan kanak-kanak tersebut.
“Kenapa tak call saya?” tanya William sejurus selepas Winnie beredar.
“Maaf, saya terlupa. Sibuk sangat dengan kerja,” Johanna menjawab petanyaan Wiliam tadi dengan senyuman.
“Kad saya masih simpan lagi? Ke... dah buang?”
“Ish, awak ni... saya masih simpan lagi. Nak bukti ke? Kejap ya...” ujar Johana sambil meyeluk sakunya untuk mengeluarkan dompet.
“It’s okay. I believe in you...” ucap William.
Johanna tersengih. Ada-ada sahaja Wiliam ni. Baru Johanna perasan, lelaki itu tampak lain hari ini. Dengan kemeja lengan panjang rona biru pekat dan seluar slack hitam, berserta tali leher rona biru laut, William tampak matang dan begitu kacak. Berbeza dengan penampilan sewaktu mereka berjumpa buat pertama kali sewaktu di The Store dahulu.
“What are you looking at?” tegur William menyebabkan Johanna tersipu malu.
“Saya ni kacak sangat ke?” William mengusik.
“Perasan!” balas Johanna lalu melangkah pergi namun terhenti apabila terasa lengannya dipegang.
“Nak ke mana? Bawalah saya sekali,” ujar William, romantis.
Hati Johanna berdetak hebat. Lebih-lebih lagi apabila pegangan tangan William menerbitkan debar. Wajahnya terasa panas.
“Awak...” ucap Johanna perlahan.
“Oh, I’m sorry,” pegangan tangannya segera dilepaskan.
Dari jauh, sepasang mata sejak tadi memerhati dengan hati yang gembira. Apakah abangnya sudah jatuh hati pada gadis yang baru sahaja menjadi kawannya itu?
Teman
AMIRULSHAH sedang asyik membuat kek beri biru yang ditempah oleh seorang kawan mamanya. Dia mengambil kesempatan itu sementara kafe agak lengang. Tidak perlu risau andai tertangkap kerana Johan dan Rahayu tahu dia adalah anak kepada pemilik kafeteria itu. Pelayan biasa tidak boleh masuk ke dapur melainkan ketua pelayan iaitu Johanna. Gadis itu begitu sibuk melayan pelanggan diluar. Lagipun, inilah peluangnya untuk mengasah bakat dan mencurahkan segala apa yang dipelajarinya selama ini. Tambahan pula, mamanya sengaja mengupah tukang masak masakan Perancis khas untuknya. Johan bukan saja pembuat coklat tetapi seorang yang berpengalaman dalam bidang masakan Perancis.
“How are you doing right now?” tegur Johan.
“Great. I will finish it within a second,” balas Amirulshah.
Beberapa saat kemudian, adunan kek itu dimasukkan ke dalam acuan. Kemudian, Amirulshah berlalu ke ketuhar dan menekan suis.
“Next week will be a cuisene competion. Do you interested to participate?” tanya Johan.
“No, I don’t think so,” jawab Amirulshah.
Johan mengangkat keningnya tanda tidak faham. Bukankah ini salah satu peluang yang ada untuk dia naik pangkat menjadi chef di sini? Tidak perlu lagi bersembunyi untuk membuat kerja di dapur.
“It’s not fair to them. I’m a professional but they just amatur,” jelas Amirulshah bagi menjawab kekeliruan Johan.
Betul juga. Amirulshah telah tamat pengajian dengan cemerlang di dalam bidang masakan. Dia juga berpengalaman dalam membuat masakan luar negara. Tidak adil bagi peserta yang baru hendak mencuba.
“Okaylah, I’ll go out first. Got work to do,” ujar Amirulshah.
Johan tersengih sambil memerhati langkah Amirulshah.
“Before I forget, take a look at my cake, please...” pinta Amirulshah sambil mengenyitkan mata pada Johan sebelum melangkah pergi.
JASMIN menjengah ke bilik Pengurus Operasi Global Jaya Holdings namun terasa hampa apabila kelibat William tiada di situ. Dia bertanya pada setiausaha William. Kata gadis bercermin mata besar itu, William ke tapak projek di Teluk Pelanduk. Sejak kebelakangan ini, jarang dia dapat bersua muka dengan lelaki itu. Dapat dirasakan lelaki itu sedang menjauhinya. Apakah segala usaha yang dilakukan selama ini tidak dapat membuka mata William? Tidak terpikatkah lelaki itu akan kecantikkan yang ada pada dirinya?
“Min buat apa di sini?” tegur Puan Sri Faridah.
“Eh, mama! Terkejut Min... mama buat apa datang sini?” soal Jasmin tanpa menjawab pertanyaan mamanya tadi.
“Mama baru habis mesyuarat dengan AJK Globanis tadi. Dah terlanjur nak balik ikut jalan ni, mama singgah sekejap. Papa kamu ada?”
“Tak. Dia ada meeting dengan Datuk Jamil tentang join venture syarikat Ikhas dengan Global Jaya. Ala, tentang projek chalet kat pantai Blue Lagoon tu,” jelas Jasmin.
“Hah, kamu buat apa di sini? Bukan ke pejabat kamu dekat tingkat bawah?” soal Puan Sri Faridah.
“Min nak jumpa papa. Ingat papa dah balik,” Jasmin berdalih.
Mujur bilik pejabat papanya berada di aras yang sama dengan pejabat William. Jasmin mengajak mamanya ke biliknya di tingkat tiga bangunan Wisma Jaya. Puan Sri Faridah hanya menurut. Sebenarnya, kedatangannya ke sini adalah kerana Jasmin. Ada sesuatu yang hendak dikhabarkan pada anak kesayangannya itu. Namun, ada keraguan terselit di tangkai hatinya. Apakah Jasmin akan bersetuju dengan tindakannya nanti?
“WILLIAM, what a pleasant surprise! Awak buat apa di sini?” Johanna menegur William sewaktu lelaki itu sedang menikmati sepotong kek coklat karamel dan secangkir teh bunga.
“Sepatutnya saya yang terkejut. Tak sangka kita dapat jumpa lagi. Awak kerja di sini?”
Johanna menganggukkan kepala. Ada gembira yang menyelubungi hatinya. Tidak tahu mengapa. Adakah kerana kedatangan William di saat dia perlukan teman untuk berbual? Atau kerana kedatangan lelaki itu menceriakan jiwanya?
“Awak tak kerja ke? Tak apa berbual dengan saya?” William bertanya, gusar.
“Tak apa. Tak ramai pelangggan. Setakat berbual seminit dua, tak salah. Awak dari mana?” tanya Johanna sejurus dia melabuhkan punggung di kerusi di hadapan William.
“Baru balik dari tapak projek. Oh ya, Winnie kirim salam pada awak,” jawab William sambil memasukkan secebis kecil kek coklat karamel ke dalam mulutnya.
Johanna tersenyum kecil. Bayangan wajah Winnie, gadis kecil yang comel itu berlegar di mindanya. Apakah yang sedang dibuatnya waktu ini? Berlatih bermain biola barangkali.
“Sedap kek di sini,” puji William.
“Kek yang dibuat di sini memang fresh dan sedap belaka. Kalau awak nak, saya boleh buatkan untuk awak satu,” pelawa Johanna tanpa dipinta.
“Really? Bila agaknya nak bagi saya rasa?”
”Bila-bila masa saja yang awak nak. Tak pun saya boleh minta pekerja di sini hantarkan ke pejabat awak,” jawab Johanna.
“Apa kata Ahad ni awak ke rumah saya?” cadang William.
Johanna agak keberatan mendengar kata-kata William tadi. William yang bagai menyedari ketidakselesaan Johanna segera menyambung kata.
“Jangan risau. Saya tinggal bersama ibu dan dua orang adik perempuan,”
Riak wajah Johanna berubah lega. Takut juga dia sebentar tadi memikirkan perkara yang tidak sepatutnya.
“Boleh juga begitu. Saya pun dah lama tak jumpa Winnie. Awak ambil saya di sini pukul sembilan, boleh?” pinta Johanna.
“Okey, set. Tak sabar pula saya,” ujar William sambil tergelak kecil.
Johanna juga turut serta ketawa apabila melihat cebisan krim coklat di bawah bibir William. Makan macam budak-budak.
“Awak, kat bawah bibir tu ada krim,” beritahu Johanna dalam sisa ketawanya.
William mengambil tisu berhampiran dengannya, cuba mengesat krim coklat namun tidak kena pada tempatnya.. Lantas Johanna mengambil sehelai lagi tisu dan mengelap kesan krim itu dengan tangannya. William terpaku sebentar. Bagai direnjat dengan eletrik, hatinya bergetar hebat.
Matanya tidak lekang dari menatap wajah gadis yang bertudung litup di hadapannya ini. Johanna yang menyedari dirinya direnung segera beralih wajah. Pandangan matanya jatuh pada sesusuk tubuh yang amat dikenali. Amirulshah sedang khusyuk memandang ke arahnya. Sekali lagi Johanna beralih. Kali ini pandangannya ke kiri pula dan tertumpu pada Rahayu yang sudah menjengilkan mata.
“Ah, maaf. Saya ada kerja nak buat. Jumpa lagi ya,” cepat-cepat Johanna meminta diri, takut andai Rahayu akan memarahinya.
“Jangan lupa janji kita Ahad ni,” pesan William.
Johanna melemparkan sebuah senyuman manis. Dia menuju ke arah Amirulshah yang sedang duduk di kaunter.
“Siapa tu?” tegur Amirulshah.
“Sibuk je nak tahu,” balas Johanna.
“Pakwe eh...” teka lelaki itu.
“Ei... sibuk je!” ujar Johanna lalu bergerak menuju ke sebuah meja yang baru didatangi seorang pelanggan sambil sempat menghadiahkan jelingan buat Amirulshah.
SKRIN komputer di hadapan ditatap kosong. Bosan kerana tiada apa yang dirasakan dapat dilakukan kala ini. Jarinya menyentuh papan keyboard, berniat untuk menaip sesuatu. Baris demi baris dikarang. Mencurah-curah ideanya datang. Bukan mudah untuk dia mengarang sebuah puisi lebih-lebih lagi dengan kesibukannya kebelakangan ini. Menulis puisi adalah kegemarannya. Bagi Husna, puisi adalah luahan hati. Dengan mengarang sesuatu, hatinya akan rasa lega. Seketika jari-jemarinya berhenti menari di papan kekunci komputer. Husna menghela nafas berat. Sajak yang baru dikarangnya dibaca, teliti.
Gerimis sayu yang melanda hati
Menghujani ruang-ruang kesunyian, yang telah lama kosong.
Aku inginkan teman bersenda
Aku inginkan teman bercanda
Teman yang memahamiku
Teman yang menerimaku
Seikhlas hati.
Namun,
Sehingga kini belum ketemu
Aku seringkali dimamah kecewa
Mungkin kerana kealpaan diri
Atau terlalu memendam rasa
Apakah aku tidak berhak mengecapi bahagia?
Sungguh!
Aku dicengkam sepi yang amat hebat
Rasa kesepian dan keseorangan yang semakin hari semakin kuat merantai diri
Hidup ini perlu diteruskan
Walaupun tanpa teman di sisi
Cukuplah sahaja penantianku setakat ini
Hati ini sudah penat
Jiwa ini sudah tidak larat
Menunggu, mencari, mengharap
Seorang teman
Yang benar-benar jujur terhadap diri ini.
Serta-merta, wajah Amirulshah menerjah mindanya. Sudah agak lama lelaki itu tidak menghubunginya. Terlalu sibukkah dia bekerja di Waltz Cafe? Lantas, Husna mengukir secarik senyum. Dia bangkit dari kerusi empuk milik pengurus pemasaran, jawatannya di KM Holdings. Dia mengatur langkah laju. Membuka pintu lalu menutupnya agak kuat.
“Zila, I keluar sekejap. Kalau ada sesiapa cari, please do inform me,” Husna memberi arahan pada setiausahanya sebelum melangkah pergi.
Cemburu
“BOLEH saya berjumpa dengan Amirul?”
“Cik ni siapa?”
“Saya tunangnya, Husna,”
“Sebentar ya cik,” ujar Hidayah.
Hidayah melambaikan tangan pada Johanna, memberi isyarat supaya datang ke tempatnya. Johanna segera berjalan ke arah Hidayah.
“Nampak Mirul tak?” bisik Hidayah di telinga Johanna.
“Ada, kat tingkat atas. Kejap aku pangggilkan,” jawab Johanna lalu bergerak meninggalkan Hidayah.
“Cik nak pesan apa-apa?” Hidayah bertanya.
“Boleh juga. Give me one slice of strawberry cake and a cup of cappucino, please,” pinta Husna.
Hidayah meminta diri setelah mengambil pesanan. Husna mengambil peluang ini untuk memerhati sekeliling. Agak ramai juga pengunjung yang singgah pada petang itu untuk hi-tea. Suasana kafeteria juga sangat selesa dengan tiupan bayu laut yang berpuput menjamah wajah cerahnya.
“Mimpi apa datang ke sini?” teguran dari Amirulshah membuatkan Husna tersentak sedikit.
Wajah lelaki itu direnung. Bibirnya mengorak senyum. Amirulshah yang melihat mengerutkan dahi tanda tidak faham maksud senyuman itu.
“You look so cute wearing this uniform,” ujar Husna lalu tergelak kecil.
Amirulshah hanya tersengih. Dia mengambil tempat duduk di hadapan Husna. Beberapa minit kemudian, Hidayah datang dengan menatang dulang berisi sepotong kek strawberi dan secangkir cappucino seperti yang diminta.
“Please enjoy your meal, miss,” ucap Hidayah dengan senyuman manis.
Sempat dikerlingnya Amirulshah yang tampak selamba. Tidak tahu pula yang lelaki ini sudah dimiliki. Hidayah melangkah ke kaunter di mana Johanna sudah sedia menunggunya di situ yang pasti tidak sabar untuk bertanya.
“Siapa perempuan tu?”
Hah! Betul tak apa yang disangkanya sebentar tadi?
“Malanglah nasib kau Hana....” ujar Hidayah.
“Kenapa?”tanya Johanna, hairan dengan kata-kata Hidayah tadi.
“Si Mirul tu dah berpunya. Perempuan tu tunang dia...” jelas Hidayah.
“What? Tunang?”
JASMIN memandang wajah mamanya seakan tidak percaya. Kata-kata mamanya sebentar tadi benar-benar mengejutkannya. Tidak menyangka yang mamanya akan bertindak begitu.
“Siapa Hafiz tu mama?”
“Anak Datuk Mukhlas. Jurutera di Indah Corporation. Kawan baik papa kamu,” jawab Puan Sri Faridah.
“Jadi, mama nak Min jumpa dia?”
“Terpulanglah pada Min. Hajat papa besar. Ingat nak jadikan hubungan perniagaan antara Indah Corporation dan Global Jaya bertukar jadi hubungan persaudaraan,” jelas Puan Sri Faridah.
“Atau dalam bahasa mudahnya, perkahwinan politik. Mama setuju?”
“Bagi mama, baik juga kerana mama tengok Hafiz tu sesuai jadi suami kamu,”
“Mama! Mama ingat Min ni apa? Barang dagangan? Sampai hati mama!” rajuk Jasmin.
“Tak, mama tak pernah anggap Min macam tu. Apa yang kami buat ni untuk kebaikan Min. Mama nak tengok Min bahagia,” Puan Sri Faridah menyatakan alasannya.
“Mama yakin Min boleh bahagia dengan pilihan mama dan papa? Ma, Min berhak atas diri Min sendiri. Mana boleh mama dan papa senang-senang nak jodohkan Min dengan orang yang Min langsung tak kenal!” bicara Jasmin, agak tinggi.
Puan Sri Faridah mengeluh berat. Dia tahu pasti begini jadinya. Sepatutnya dia sedar yang awal-awal lagi Jasmin tak akan setuju. Namun, fikirnya, hati Jasmin boleh dilembutkan apabila Jasmin berjumpa dengan lelaki pilihannya itu.
“Ma, kebahagiaan Min, biarlah Min yang tentukan sendiri,” ucap Jasmin sekaligus menyebabkan Datin Faridah kehilangan kata.
NOREMI memerhati gerak-laku sahabat baiknya yang sejak siang tadi sudah menunjukkan tanda-tanda abnormal. Selalu termenung dan wajahnya mendung. Ada perkara buruk yang telah berlakukah? Lantas, tanpa membuang masa, dia menegur Johanna yang sedang asyik menatap skrin televisyen. Sudah dijangka bahawa bukan gadis itu yang menonton tapi ditonton.
“Hana, kau okey?” Noremi menyapa sambil menepuk lembut bahu kawannya itu membuatkan Johanna melatah.
“Ish, kau ni... buat terkejut aku je. Lah.. aku okey. Nothing wrong. Kenapa tanya macam tu?”
“Bukan apa... sejak balik tadi kau senyap je. Masa kat kafe lagilah, macam ayam berak kapur,”
“Iya? Kau pernah tengok ayam berak keluar kapur ke?” gurau Johanna.
“Eh, budak ni... orang serius, dia boleh buat lawak tak kelakar pula,” marah Noremi.
Johanna hanya tersenyum tawar. Dia sendiri tidak mengerti apakah yang sedang melanda hatinya ini. Mengetahui yang lelaki itu sudah mempunyai kekasih hati, dia semacam dilanda kecewa. Tapi, untuk apa?
“Aku okey. Tak payahlah risau. Penat kerja agaknya,” Johanna memberi alasan.
“Kalau penat, ambillah cuti,” saran Noremi.
Johanna hanya mengangguk lesu. Fikirannya masih pada Amirulshah dan perempuan yang bersama dengan lelaki itu di kafe siang tadi. Cemburukah dia?
HALAMAN Villa Harmoni disimbahi hujan rintik-rintik. Bunyi laungan katak bersahut-sahutan membelah keheningan malam. Amirulshah sedang meneliti fail belanjawan syarikat KM Holdings di sebelahnya. Sudah menjadi tugasnya sebagai seorang pengarah bahagian kewangan untuk menyemak semula setiap perkara yang berkaitan dengan aliran keluar masuk duit di syarikat itu. Walaupun bekerja di Waltz Cafe adalah cita-citanya namun di waktu yang sama, papanya mahu dia mengetahui sedikit-sebanyak hal-ehwal syarikat kerana KM Holdings akan berada di bawah jagaannya juga satu hari nanti.
“Sibuk nampak?” tegur Alina, adiknya.
“Biasalah, hujung bulan macam ni, kena check gaji dan claim pekerja. Tak keluar ke malam ni?”
“Ala, along ni. Ingat Lina apa, kutu embun? Balik rumah pukul tiga, empat pagi?”
Amirulshah tersengih. Kenal benar perangai adiknya yang seorang ini. Namun dia tidak risau, walau adiknya seorang yang suka bersosial, dia pandai menjaga diri.
“Ke, mama tak bagi keluar?” teka Amirulshah.
Alina tergelak kecil. Abangnya memang pandai meneka. Sewaktu dia hendak keluar tadi, mamanya sudah mula membuka sesi ceramah. Terpaksalah dia tangguhkan rancangannya malam ini.
“Belajar macam mana?”
“So far so good. Tak lama lagi dah nak habis belajar. Tak sabar rasanya,”
“So, nak buat apa lepas graduate nanti?”
“Kerja dengan papalah. Lina nak jadi pengarah urusan bahagian sumber manusia. Baru bangga...” jawab Alina.
“Ada-ada saja kau ni,”
“Along, bila nak kahwin dengan Kak Husna?” soal Alina.
Jari-jemari Amirulshah yang mengetuk papan keyboard terhenti. Terbayang wajah Husna di matanya. Kahwin? Tidak pernah terfikir pula dia.
“Entahlah, kalau ada jodoh, kitaorang kahwinlah...” jawab Amirulshah, lesu.
“Eh, kenapa cakap macam tu pula? Along tak suka Kak Husna ke?”
Amirulshah hanya tersenyum sebagai jawapan bagi pertanyaan adiknya tadi.
“Dahlah, abang banyak kerja nak buat ni. Kamu pergilah mengacau mama ke, papa ke. Kalau dah tak ada kerja nak buat, pergi tidur,” ujar Amirulshah.
Alina menarik muka masam. Abangnya memang suka mengelak apabila ditanya perihal hubungannya dengan Kak Husna. Entah kenapa, dapat dia rasakan hati abangnya sudah dicuri.
“Yelah, yelah, Lina keluarlah ni,” ujar Alina lalu bangun melangkah keluar dari bilik abangnya itu.
Amirulshah kembali meneruskan kerja namun tumpuannya terganggu dengan pertanyaan Alina tadi.
“Along tak suka Kak Husna ke?”
Sebuah keluhan dilepaskan...
TAMAT
nak tau johanna dengan sapa amirul or abang winnie
ReplyDelete