Dia pernah berkata bahawa kerana aku, dia kehilangan kekasih hati. Kerana aku dia dibelit kecewa. Kerana aku dia dimamah hiba. Namun tahukah dia bahawa aku tidak pinta semua ini terjadi? Mengertikah dia bahawa aku juga punya hati, punya perasaan? Aku masih ingat kata-katanya malam itu. Masih jelas setiap patah kata yang dia lontarkan.
“Walaupun perkahwinan ini sah, tapi jangan harap kau boleh jadi isteri aku,”
Ya, ikatan perkahwinan kami memang sah di sisi undang-undang mahupun hukum syarak. Sekelip mata dari seorang gadis yang tidak punya apa-apa, aku sudah punya tanggungjawab yang besar untuk digalas. Aku belum bersedia sebenarnya. Aku masih lagi ingin menikmati hidup ini. Masih lagi ingin bebas. Masih lagi ingin bercanda dengan rakan-rakan. Masih lagi ingin terus menimba ilmu pengetahuan. Dan sekelip mata aku kehilangan semua itu selepas akad nikah dilafaz. Aku sedar, aku sudah tidak lagi mampu menjalani kehidupan seperti dulu. Aku kini seperti seekor burung yang tidak berdaya dikurung dalam sebuah sangkar emas. Punya segala kemudahan namun hati ini kosong. Sepi dan sunyi.
“Aku tidur di bilik sebelah. Esok, tak perlu kejutkan aku. Aku tahu bangun sendiri,” ujar suamiku.
Lihatlah... bagaimana aku mahu menjalankan tanggungjawab seorang isteri andai seorang suami tidak membenarkannya? Itulah perkara yang berlaku pada malam pertama kami bergelar suami isteri. Langsung tidak sama seperti yang aku impikan. Tiada madah-madah cinta, tiada pelukan mesra, tiada pujuk-rayu, tiada! Yang ada hanya alunan merdu unggas berlagu menemani lena.
Seminggu berlalu dan dalam tempoh itu kami masih bagai orang asing. Percayalah aku hanya tahu nama suamiku sahaja. Aku tidak tahu makanan kegemarannya, hobinya, pekerjaannya, malah nombor telefon bimbitnya juga aku tidak ada. Aku cuba merapatinya. Ya, bohonglah aku katakan bahawa aku tidak cuba berbual dengannya kerana aku mahu kami saling mengenali, mahu merapatkan jurang yang dibina antara kami. Namun, selangkah aku rapat, sepuluh langkah dia menjauh. Dia seakan meluat melihat wajahku. Ketika aku menghampiri, dia akan cepat-cepat pergi. Masuk ke bilik dan mengunci pintu. Perasaan hati? Usah diteka! Hancur lumat!
Siulan merbah di dahan halban mengusik jiwaku. Seketika aku merenung langit cerah yang tidak berawan. Ada wajah suamiku terbayang-bayang di situ. Ah, perasaan ini harus disingkirkan segera. Aku tidak mahu terus disakiti. Kembali, fikiran mula menerawang.
Minggu kedua perkahwinan kami, masih tiada apa yang berubah cuma aku dapat tahu nombor telefon bimbitnya dari plannerplanner itu, aku tahu dia bekerja sebagai seorang eksekutif pemasaran di salah sebuah syarikat di bandar berhampiran. yang ditinggalkan di atas meja kecil di ruang tamu sewaktu dia tergesa-gesa ke pejabat kerana bangun lewat. Bukan salahku kerana dia langsung tidak membenarkan aku mengejutkannya. Dari
Ketika leka membelek planner berkenaan, ada sekeping gambar yang terkeluar dari celah-celah muka surat planner itu. Gambar seorang wanita. Yang pasti itu bukan gambarku. Masakan dia meletakkan gambar seorang wanita yang dibencinya dalam planner tersebut. Aku tatap gambar itu. Cantik orangnya persis seorang model.
Aku lihat wajahku di cermin yang tergantung di dinding. Bagai langit dengan bumi bezanya. Aku seperti kaca dan wanita itu laksana permata. Gadis kota memang jelita belaka. Berlainan dengan gadis kampung sepertiku. Bergelumang dengan lumpur dan selut adalah perkara biasa. Wajarlah andai suamiku jatuh hati pada wanita itu. Mungkin kenalannya sejak mereka belajar di menara gading. Rasa rendah diri mula menular dalam jiwa. Aku tahu tahap pendidikanku tidak setinggi suamiku itu.
Selepas SPM, aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta namun terhenti di tengah jalan kerana tidak mampu membayar yuran pengajian. Keluargaku bukan orang senang. Aku masih ada lima orang adik di bawahku. Mereka lebih layak diberi peluang. Kerana memikirkan masa depan adik-adiklah aku bersetuju dengan perkahwinan ini. Biarlah mereka menikmati kesenangan. Sebagai kakak yang sulung, apalah sangat pengorbananku jika dibandingkan dengan kebahagiaan yang akan adik-adikku peroleh kelak.
Minggu ketiga perkahwinan kami, ibu mertuaku datang melawat. Kedatangannya secara mengejut itu memang meresahkanku. Mujur ibu mertuaku itu baik orangnya. Peramah dan lembut tutur bicara. Dia bertanya bagaimana keadaan kami. Aku hanya jawab baik-baik sahaja. Ibu mertuaku banyak bercerita perihal anak terunanya itu. Dan aku catit dalam ingatan setiap apa yang dikatakan. Sungguh, aku ingin lebih mengenali suamiku. Sedikit demi sedikit aku mahu wujud rasa sayang antara kami. Aku mahu semaikan benih kasih agar bunga-bunga cinta berputik dalam taman jiwa.
Minggu keempat perkahwinan kami bermakna sudah sebulan kami menempuh alam rumah tangga. Suamiku masih begitu. Tidak banyak bicara. Pulang dari pejabat, dia terperuk di dalam bilik sehingga pagi. Aku tidak mahu menganggu, takut dia sedang melakukan kerja apatah lagi dia mungkin letih. Namun desakan perasaan tidak mampu kutahan. Suatu malam, aku mengetuk pintu biliknya. Pintu dibuka dan wajahnya terjengul, tiada ekspresi. Kosong.
“Saya bawakan air untuk abang,” ucapku dengan secawan kopi yang masih berasap di tangan kanan.
“Hmm... masuklah,” pelawa suamiku.
‘Benarkah? Benarkah apa yang aku dengar?’ detik hati ini serasa tidak percaya.
Lantas aku segera masuk. Kulihat biliknya bagai tongkang pecah. Berselerak. Suamiku tidak pernah membenarkan aku masuk ke bilik ini dan sebagai seorang isteri, aku harus akur setiap perintah suami. Baju dan seluar melata. Ada di atas katil, ada di bawah lantai. Kopi yang kubawa tadi diletakkan di atas meja tulis. Fail-fail pejabat bertaburan di atas meja, tidak bersusun rapi. Bagaimana dia hidup dalam bilik yang sebegini rupa teruknya?
“Terima kasih untuk kopi ini,” ucapnya.
Aku tersenyum, lega. Dia sudah mula menerima minuman yang kubuat. Itu satu petanda baik. Rasa riang di dalam hati. Aku masih berdiri. Tidak tahu di mana harus kulabuhkan punggung ini.
“Maaflah, bilik bersepah sedikit,” ujar suamiku lagi.
“Abang nak saya kemaskan?”
“Boleh juga tapi esok sajalah,” jawab suamiku.
Tiba-tiba dia menghampiriku. Wajahku dielus lembut. Perlahan-lahan bibirnya singgah di ubun kepalaku. Kemudian bergerak ke dahi. Aku kaku. Kakiku bagai telah dipaku, tidak mampu bergerak. Bibir suamiku melata di segenap wajah dan apabila bibir merah itu mahu singgah ke bibirku, aku berpaling ke kanan. Suamiku terkejut sedikit namun tangannya segera memegang daguku, menolak supaya berhadapan dengan wajahnya semula.
“A... abang...” ucapku, gugup.
Dia meletakkan jemarinya di bibirku menyuruhku diam. Tiba-tiba dia mendakapku. Jantungku seakan mahu tercabut waktu itu kerana debaran yang kurasakan amat menggila. Apakah yang telah merasuk suamiku malam ini sehingga melakukan aku begini?
Aku menolak menyebabkan pelukan suamiku terlerai. Entah mengapa tanganku bertindak begitu. Dia mencuba sekali lagi namun aku berganjak ke belakang sedikit. Semuanya terlalu mengejut bagiku. Tanpa sebarang kata, aku berlalu pergi meninggalkan suamiku terpinga-pinga.
Keesokan harinya, usai Solat Subuh, aku memberanikan diri mengetuk pintu bilik suamiku. Tiada jawapan. Aku menyentuh tombol pintu lalu memulasnya. Pintu tidak berkunci. Aneh, suamiku tiada. Keadaan biliknya masih seperti malam tadi. Cawan kopi yang kubawa semalam masih tidak berganjak dari kedudukannya. Ke manakah suamiku pergi awal-awal pagi begini? Apakah dia terasa hati dengan tindakanku malam tadi?
Aku tahu aku bersalah. Sewajarnya tanggungjawab seorang isteri adalah untuk bersama-sama suami. Namun semuanya terlalu mengejut bagiku. Aku masih belum bersedia. Kami masih belum mengenali antara satu sama lain. Aku tidak mahu menyerahkan segala-galanya andai ada curiga di dalam hati. Aku tidak mahu ditinggalkan terkapai-kapai selepas kehendaknya dipenuhi. Tetapi dia suamiku. Dia berhak atas diri ini. Ya, tidak dinafikan tetapi dia hanya suami atas nama. Dia tidak pernah menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami. Semuanya kerana perkahwinan kami tanpa kerelaannya. Sejak pagi itu, sehingga saat ini, sudah hampir seminggu suamiku tidak pulang ke rumah.
Aku diulit resah. Telefon bimbitnya ditutup. Hendak telefon rumah mertuaku, nanti apa pula yang difikirkan mereka. Aku tidak tahu dari mana aku harus mula mencari. Aku tidak kenal rakan-rakan suamiku. Tempat kerjanya juga aku tidak pernah singgah. Hendak keluar, aku takut. Aku masih tidak biasa dengan keadaan di bandar. Barang-barang dapur pun selalunya suamiku yang sediakan. Aku hanya duduk di rumah goyang kaki sahaja. Mengemas dan bercucuk tanam di kebun kecil belakang rumah. Itulah pekerjaan seharianku.
Jiran-jiran jarang bersua muka. Orang kota, hidupnya sibuk dua puluh empat jam. Tidak seperti di desa, hubungan antara jiran bagai aur dengan tebing. Kata orang, cubit peha kanan, peha kiri pasti terasa juga. Di bandar lain keadaannya. Jiran-jiran lebih suka membuat kerja sendiri. Tidak berminat untuk masuk campur urusan tetangga yang lain. Hidup aku, tahulah aku uruskan. Hidup kau, suka hatilah nak buat apa.
Berbalik semula pada hidupku. Ke mana harus kucari suamiku itu? Entah mengapa ada rindu di hati untuk dirinya. Ya, aku tahu malah aku sedar. Hati ini telah dicuri. Rasa kasih dan sayang dalam hati semakin bercambah hari demi hari. Walau suamiku memperlakukan aku tidak ubah seperti orang asing, namun sejak kejadian malam seminggu yang lalu, aku tahu aku telah jatuh hati padanya. Tidak, mungkin sejak kali pertama kami bertentang mata, cinta sudah mula berputik dalam sanubari ini.
Bunyi hon mengejutkanku dari lamunan. Pantas aku menoleh. Sebuah kereta Gen-2 rona hitam berhenti di hadapan pintu pagar. Aku kenal pemilik kereta itu. Dan apabila pemandunya keluar dari perut kereta, perasaan rindu terus membuak-buak. Segera aku berlari, membuka pintu pagar. Aku menatap wajah itu sepuasnya. Riak wajah suamiku kali ini punya ekspresi. Tidak lagi kosong seperti dulu. Aku tahu, dia juga merinduiku. Lantas, aku mendakapnya. Dia membalas pelukanku.
“Maafkan abang... Kita, bermula semula, boleh?” bisiknya di telingaku.
Aku tidak menjawab pertanyaannya tadi. Pelukanku dipererat. Tanda hati sudah menerima dirinya menjadi sebahagian dari hidup ini.
Bicara Kalbu: Cinta dalam hati, mampukah menjamin bahagia di kemudian hari?
tu je
ReplyDelete